Sabtu, 18 April 2015

Zahid, Shafie penentu masa depan Umno




Oleh Habib Mazlan 


Politik Malaysia kini semakin hampir menuju kepada kemelut yang semakin meruncing. Ibarat “bom jangka “ kini ia boleh terjadi apa jua yang tidak mampu dijangka oleh rakyat Malaysia sendiri. Hal ini bukan perkara baru yang dapat kita saksikan dalam ketika negara hampir menuju 60 tahun merdeka daripada anasir luar.

Situasi kini lebih menjurus ke mana hala tuju Malaysia sekarang apabila negara digemparkan dengan hebahan kes skandal para peneraju barisan depan negara. Khususnya Umno yang kini bergelut dengan serangan pelbagai pihak baik daripada PR dan Tun Dr Mahathir sendiri yang merupakan bekas Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Serangan Dr Mahathir bukan baru di dalam politik negara. Kita dapat lihat Dr Mahathir sering mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas beliau yang gagal memacu negara mengikut acuan beliau. Apakah sebenarnya yang Dr Mahathir mahu? Terbit di benak akal fikiran rakyat, adakah beliau bercita-cita mengangkat benih beliau sendiri untuk menggantikan tempat beliau?


Sekarang Presiden UMNO adalah Najib yang merupakan dulu pendukung kuat kepada Dr Mahathir dahulu. Apakah Najib kini berani bersilat politik dengan bekas pemimpin beliau? Apa jua silat politik kedua-dua belah pihak, ia bukan menjamin masa depan politik Umno akan kembali stabil dan mampu memenangi Pilihan Raya Umum (PRU-14) yang akan datang.

Dalam situasi sekarang, Umno memerlukan pihak ketiga untuk menjadi pendamai di antara kedua-dua pihak yang bertelagah. Baru-baru ini Pemuda Umno jelas menyatakan sokongan penuh kepada Presiden sekarang. Ini adalah satu tindakan yang boleh kita jangka apabila anak kapal mengikut nakhoda kapal. Cuma persoalan yang timbul, kenapa Pemuda Umno tidak menjadi orang tengah untuk menjernihkan keadaan di antara Najib dengan Dr Mahathir?

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal merupakan 2 pemimpin Umno yang boleh menyelamatkan UMNO. Kenapa dua naib presiden UMNO ini mampu menyelamatkan Umno? Daripada bacaan politik kini, kita dapat lihat Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak begitu agresif dalam mempertahankan Najib. Adakah kerana hubungan rapat beliau dengan Dr Mahathir dan masih menganggap Dr Mahathir sebagai ketua beliau di dalam Umno?

Datuk Seri Hishammuddin Hussein sudah dijangka merupakan proksi kuat kepada Najib kerana beliau mempunyai hubungan persaudaraan dengan perdana menteri sekarang. Jadi perlu kita lihat kepada senioriti selepas itu yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan. Sudah pasti naib presiden Umno yang tinggal adalah Zahid dan Shafie.

Mengapa mereka? Jawapan ia mudah. Umno memerlukan pihak ketiga yang tidak terlibat dengan “politik king “ jika mahu menyelamatkan bahtera mereka. Kedua-dua mereka dilihat sebagai berkecuali dalam kemelut politik Umno. Parti itu memerlukan seorang pemimpin yang tegas dan mampu membuat keputusan. Sekiranya kita lihat, Zahid mempunyai ciri pemimpin yang tegas dan mampu bertindak atas sesuatu kepentingan.

Shafie pula seorang pemimpin yang tidak cepat melatah dalam krisis yang berlaku sekarang. Seperti di awal tadi, jalan keluar kemelut UMNO adalah perlu pihak ketiga dan berkecuali dari polemik politik untuk membetulkan keadaan. Sekiranya Shafie dan Zahid bergabung dalam mewujudkan pihak ketiga, ia mampu menolak unsur nepotisme dan “politik king“ di dalam Umno. Keharmonian gabungan Zahid dan Shafie mampu membawa kesepakatan hubungan dalaman politik Umno khususnya. Sudah tiba masa suara Umno perlu diperkukuhkan. Untuk membawa sebuah imej yang baik, ia perlu bermula dari asas dan asas itu adalah kekuatan Jemaah Umno itu sendiri.

Dengan gabungan ini, ia mampu membawa imej baru kepada Malaysia sekiranya ia BN terus memerintah. Sabah dan Sarawak perlu mendapat layanan seperti Semenanjung Malaysia. Hasil bumi yang banyak di sana perlu digunakan untuk mengukuhkan ekonomi negara. Di samping ruang yang masih banyak boleh diterokai, Malaysia Baru mesti direalisasikan.

Malaysia Baru merupakan wacana yang boleh menyelamatkan Malaysia. Dalam membawa perubahan kita perlu libatkan semua pihak selagi ia rakyat Malaysia, ia perlu bersama mendukung agenda memperkukuhkan negara sendiri. Kepentingan Sabah dan Sarawak itu perlu di optimumkan untuk membuka peluang-peluang baru untuk Malaysia dan mengukuhkan ekonomi dan sosio budaya di antara dua tanah besar negara. Kita perlu memandang ke hadapan agar kedua-dua tanah besar ini digabungkan di bawah satu ikatan kenegaraan.

Zahid dan Shafie merupakan pemimpin yang mampu mendukung Malaysia Baru. Perlu kita meletakkan pemimpin di antara 2 tanah besar untuk menjamin kestabilan politik dan keamanan negara. Daripada kestabilan ini, ia mampu membawa perubahan kepada negara baik dari segi ekonomi juga sosio budaya. Rakyat sudah letih dengan amalan politik lapuk kekeluargaan yang semakin mual. Sudah tiba masanya kita menuju kepada keharmonian dan melibatkan semua pihak bersama.

Perlu kita lihat, Zahid dan Shafie mendapat undian tertinggi bagi jawatan Naib Presiden di dalam Pemilihan Umno lepas. Mereka merupakan tokoh yang disenangi oleh akar umbi. Mereka ada sokongan yang kuat di akar umbi dan tidak ada masalah untuk mereka jika mereka mahu membawa pembaharuan. Amalan politik berkasta tidak lagi relevan dalam keadaan sekarang. Isu jelas, kita perlukan pemimpin yang mampu membawa kepada kestabilan dan keharmonian kerana di kala ekonomi yang tidak dijangka, ia mampu mendorong kepada kesan yang tidak dijangka.

Justeru itu komposisi kedua tokoh ini dipilih bukan semata kerana mereka kuat di akar umbi tetapi ia boleh jadi pihak yang berkecuali untuk menyelesaikan kerumitan yang timbul di dalam Umno yang menjadi ketua kepada Barisan Nasional. Apabila parti yang memerintah kerajaan punyai masalah dalaman, ia akan menyebabkan kesan pemerintahan yang lopong dan lemah.
-: http://www.themalaysianinsider.com

Tiada ulasan: