Selasa, 21 April 2015

Wardina: Hanya hantu takut salib

MALAYSIAKINI


 


"Saya harap salib itu akan kekal di situ. #‪#‎letthecrossstay‬. Tolong jangan turunkannya," tulis selebriti Wardina Safiyyah mengulas kejadian kontroversi di sebuah gereja di Taman Medan kelmarin.

Kata Wardina, sejak berabad lalu umat Islam dan Kristian boleh hidup dengan aman.

Justeru, katanya, kejadian penganut Kristian "dibuli" oleh Muslim sangat dikesali.

"Pada zaman kebendaan, seseorang yang memiliki keyakinan ikhlas memberi inspirasi kepada saya. Pengabdian, kejujuran dan hubungan kepada Tuhan adalah pengalaman yang memberi kesedaran yang hanya difahami oleh seseorang yang beriman.

"Kepada umat Islam, bertindaklah seperti orang Islam. Hanya hantu yang takutkan salib," katanya.

Komen Wardina itu merujuk kepada tunjuk perasaan sekumpulan orang Melayu membantah lambang salib pada bangunan gereja di Taman Medan.

Seorang daripada mereka dikenal pasti adalah calon BN dalam pilihan raya umum lalu, manakala seorang lagi ialah abang kepada Ketua Polis Negara.

Kata Wardina, dia faham bagaimana perasaan menjadi kumpulan minoriti dan dibuli kerana kepercayaan seseorang itu.

"Apabila seorang bukan Islam di Australia memberi sokongan kepada Muslim, ia sangat bermakna.

"Saya harap kita juga memberi sokongan kepada penganut Kristian apabila sesetengah kita melayan mereka dengan kasar.

"Salib adalah lambang mereka. Biarkan ia di situ. Jangan ganggu mereka," katanya. 


Tiada ulasan: