Tian Chua
PETALING JAYA - Naib Presiden PKR, Tian Chua membidas kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar semalam yang disifatkan cuba memperkecilkan gerakan #KitaLawan.
Menurutnya, gerakan #KitaLawan berjaya menggerunkan kerajaan apabila semua isu bercantum dan digabungkan untuk diperjuangkan.
"Saya rasa dia tak tahu apa-apa tentang...sudah tentu kita tak boleh bandingkan. Kita tak pernah bandingkan tapi ia perjuangan yang berterusan dan jika ada sesiapa yang fikir bilangan #KitaLawan lebih kecil berbanding reformasi 1998, saya rasa lebih baik lihat kembali gambar-gambar (himpunan #KitaLawan).
"Hari ini, #KitaLawan adalah kesinambungan perjuangan di mana pelbagai gabungan isu telah bercantum semula dalam #KitaLawan.
"Saya nampak sebenarnya ini lagi ditakuti Umno dan BN sekarang. Jadi, cubaan Khairy untuk memperkecilkan #KitaLawan hanya mendedahkan ketakutan Umno," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, hari ini.
Semalam, Khairy menyebut bahawa suasana reformasi pada tahun 1998 berkali ganda lebih dahsyat berbanding #KitaLawan yang berlaku sejak Anwar kembali dipenjara, Februari lalu.
Dalam pada itu, menurut Tian Chua, #KitaLawan mendapat sokongan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira usia ekoran isu yang diperjuangkan berkait dengan rakyat.
"Pada 1998, orang bukan Melayu tidak terlibat dan tidak mengetahui tentang reformasi pada ketika itu. Tapi, pada hari ini, #KitaLawan libatkan pelbagai kaum dari semua lapisan masyarakat.
"Kebanyakannya orang muda. Bukan hanya kerana Anwar atau satu dua isu tetapi banyak isu yang berkaitan dengan hidup mereka seperti GST, menentang POTA, POKA...rasuah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan