Menteri
Kesihatan yang juga Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S.Subramaniam
(kanan) beramah mesra dengan anggota MIC yang menghadiri jamuan makan
malam sempena Sambutan 25 Tahun Bahagian MIC Ipoh Barat di Hotel WEIL
malam tadi. - Foto Bernama
IPOH - Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata parti
itu menyokong penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk
terus memimpin negara.
"Kepimpinan Perdana Menteri perlu diteruskan bagi memastikan negara
terus kekal pada haluan pembangunan untuk menjadi sebuah negara maju,"
kata Dr S Subramaniam.
MIC menghargai usaha luar biasa Najib, kata beliau.
Menteri Kesihatan itu berkata, Najib telah melakukan pelbagai
transformasi dalam pembangunan ekonomi dan pendidikan masyarakat India.
Dr S Subramaniam berkata, menerusi transformasi tersebut, banyak
perubahan yang berlaku sekaligus meletakkan masyarakat India di barisan
hadapan bersama masyarakat lain dalam pembangunan negara.
"Kita telah membawa masyarakat India ke satu tahap yang lebih baik dan
penekanan terhadap dua aspek ini berjaya mengeluarkan mereka daripada
masalah ekonomi dan pendidikan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Makan Malam
Sambutan 25 tahun MIC Bahagian Ipoh Barat yang dihadiri kira-kira 1,000
anggota daripada 48 cawangan semalam.
Dr S Subramaniam berkata, Najib telah mewujudkan Jawatankuasa Khas
Kabinet Hal Ehwal Masyarakat India yang menjadi agensi untuk menangani
pelbagai perkara yang berkaitan dengan masyarakat India.
"Di samping itu, (disediakan) peruntukan sebanyak RM610 juta untuk
sekolah Tamil, penambahan kuota pelajar India di peringkat matrikulasi
dan politeknik, peruntukan keperluan khas untuk kuil serta lebih 4,000
masyarakat India mendapat status kerakyatan," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan