Selasa, 21 April 2015

Majlis Syura Ulama akan terus pantau PAS - Mursyidul Am

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic
 
 
 
BANGI: Majlis Syura Ulama akan terus menjadi 'check and balance' (periksa dan imbang) dan badan induk berkecuali kepada PAS selain menjadi penasihat kepadanya meskipun terpaksa berdepan dengan konflik.
 
Lantas Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din berkata badan induk itu diwujudkan bagi memantau pergerakan parti berteras Islam itu agar tidak terpesong daripada landasannya.
 
"Bila dasar PAS Islam dan pegangan tertingginya al-Quran dan as-sunnah maka tentulah akan ada dalam perhitungan politik kita ada beberapa keputusan yang akan berlaku.
 
"Bila keputusan itu kita lihat balik, adakah semua keputusan atau langkah yang diambil dan yang nak dibuat sama ada bertepatan atau tidak dengan kehendak syarak," katanya dalam temubual ekslusif bersama Antarapos baru-baru ini.
 
Ujar beliau, Majlis Syura Ulama akan penelitian rapi sebelum membuat keputusan dengan berlandaskan kepada al-Quran dan sunnah.
 
"Itulah Syura, sebab itulah kita bermesyuarat hampir setiap bulan di mana kita bincang apa yang tidak berlaku mungkin akan berlaku.
 
"Kita bincang apa yang telah dibuat dan betulkah tidak...dan Syura Ulama telah menegur beberapa keputusan PAS yang dahulu yang semuanya kita buat dalaman," katanya.
 
Untuk rekod, Majlis Syura Ulama PAS berkuasa menghurai, menjelas dan mentafsir dasar PAS di mana-mana peruntukan di dalam perlembagaan parti selain berperanan membuat ketetapan , mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan itu dipatuhi serta dilaksanakan oleh mana-mana anggotanya.
 
Majlis Syura Ulama berfungsi sebagai badan yang memantau dan mengawal agar perjuangan parti terus selari dengan syariat Islam, tidak bercanggah dengan syarak.
 
Penubuhan Majlis Syura Ulama tidak lagi mahu melihat PAS membuat satu keputusan yang dikuasai oleh individu atau puak tertentu dalam parti.
 
Majlis Syura pastikan keputusan dibuat pimpinan tidak bercanggah dengan syarak
 
Jelas Haron lagi, keputusan Majlis Syura Ulama berpegang teguh kepada al-Quran, as-Sunnah, Qiyas dan Ijmak ulama menambah ahli serta pimpinannya perlu akur kepada pendirian yang dibuat.
 
"Memastikan bahawa keputusan itu adalah bersesuaian dengan kehendak syarak dan tidak berlawan dengan al-Quran dan sunnah.
 
"Maka itulah kita akan teruskan check and balance, kita check dan kita balance...kalau ada yang mulai keluar kita ubah daripada mula senang," katanya.
 
Kata pengamal perubatan Islam ini, Keingkaran ahli mematuhi keputusan Majlis Syura Ulama PAS sebelum ini antara punca perbalahan dalaman parti kerap berulang.
 
"Kalau jauh menyimpang dan terpesong jauh daripada Islam nak ajak balik itu amat payah, selama ini pengalaman saya dalam Syura sampai sekarang ini tidak ada lagi sesuatu yang jelas bertentangan yang tak boleh kita balik semula kepada Islam.
 
"Atas itu saya merasakan bahawa ini akan terus kita pantau, beri nasihat dan kita bimbing PAS ke arah menepati kehendak al-Quran dan sunnah," katanya.
 
Mahu pastikan PAS terus berpegang kepada Islam
 
Ditanya mengenai pelantikannya sebagai Mursyidul Am PAS yang baru, Haron berkata amanah tersebut akan dipikul sebaik mungkin selain mahu memastikan parti itu terus berada di landasan yang betul.
 
"Saya telah diamanahkan untuk meneruskan perjuangan PAS dengan memegang jawatan Mursyidul Am, sebelum ini telah lama saya berada dalam PAS dalam jawatan Timbalan Mursyidul Am PAS.
 
"Saya merasakan bahawa amanah ini meskipun besar dan berat tapi kerana sudah di sistemkan dalam PAS ada sebuah jawatankuasa yang dipanggil sebagai Mursyidul Am yang di bawahnya ada anggota Syura.
 
"Syura Ulama yang mempunyai 17 orang ahli yang semuanya mengambil tanggungjawab bersama-sama dengan Mursyidul Am bagi menentukan PAS berada di atas landasan yang betul," katanya.
 
Tambah beliau, tanggungjawab itu akan digalas bersama anggota Majlis Syura Ulama.
 
"Untuk itu tidaklah saya merasakan begitu sukar kerana PAS mempunyai sebuah perlembagaan yang di dalamnya amat nyata bahawa PAS adalah sebuah parti Islam yang pegangan utamanya al-Quran, as-sunnah, ijmak dan qias.
 
"Kalau itulah pegangan kita maka selama-lamanya kita tidak akan terpesong dan tergelincir walaupun berubah kepimpinan," katanya.
 
Justeru Haron melahirkan harapan yang tinggi agar ahli serta pimpinan PAS memberikan kepercayaan kepadanya untuk menggalas tugas berkenaan yang mana ia disandang Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik mat sebelum ini.
 
"Manusia yang memimpin akan datang dam pergi tapi PAS dengan perjuangannya yang telah menekankan tujuan besarnya untuk mewujudkan di dalam Malaysia ini sebuah masyarakat yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam.
 
"Dengan pegangan itu saya merasakan bahawa saya hanya berkewajiban besarnya memastikan PAS sentiasa berada di atas landasan yang betul dan berpegang kepada al-Quran serta as-sunnah sebagai pegangannya," katanya.
 
 

Tiada ulasan: