Menteri
Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menjawab pertanyaan media
berkenaan perkembangan terkini nahas helikopter yang mengorbankan
Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis bersama lima yang lain di
Semenyih kira-kira 4.55 petang Sabtu lalu ketika menghadiri majlis
Penyerahan Sijil Petunjuk Geografi Halia Bentong dan Seminar Kesedaran
Harta Intelek di Bentong hari ini. - Foto Bernama
BENTONG - Laporan siasatan berhubung punca nahas helikopter Dauphin
9M-IGB yang mengorbankan Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan lima yang lain di
Semenyih Sabtu lepas dijangka diketahui dalam tempoh sebulan.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, siasatan di
tempat kejadian untuk mengumpul bukti termasuk serpihan helikopter dan
rakaman percakapan saksi kini sedang giat dilakukan.
"Kotak hitam yang ditemui pagi semalam akan dihantar ke Cawangan
Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di United Kingdom hari ini untuk
dianalisis bagi mendapatkan laporan awal punca nahas.
"Tempoh untuk mengeluarkan data akan ambil masa tiga hingga empat hari,
analisis data seminggu, jadi kita jangka proses untuk siasat sepenuhnya
punca kemalangan akan ambil masa sebulan," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan Sijil
Petunjuk Geografi Halia Bentong dan Seminar Kesedaran Harta Intelek
kepada pengusaha Halia Bentong di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob;
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri
Hasan Malek; dan Pengerusi MyIPO Datuk Abdul Manan Ismail.
Sehubungan itu Tiong Lai menyeru semua
pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi tentang punca kejadian
kerana boleh menyinggung perasaan ahli keluarga mangsa nahas.
Mengulas mengenai identiti pembantu operasi Aidana Baizieca yang
menimbulkan tanda tanya, Tiong Lai sekali lagi menegaskan mangsa wanita
itu adalah kakitangan syarikat penerbangan berkenaan dan bukan pembantu
juruterbang.
Beliau enggan mengulas lanjut mengenai laporan hasil bedah siasat dan
menyatakan ia akan diumumkan bersama laporan keseluruhan punca
kejadian.
Nahas pukul 4.55 petang di Kampung Pasir Baru, Sungai Pening, Semenyih
itu mengorbankan Jamaluddin dan lima penumpang lain termasuk Ketua
Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Seri Azlin Alias.
Mereka dalam penerbangan pulang ke ibu negara selepas menghadiri majlis
resepsi perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak di Pekan, Pahang. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan