Khamis, 9 April 2015

KJ: Jika perlu cari hantu kacau atlet

MALAYSIAKINI


 


Pada Sukan Asia di Korea tahun lalu, pelumba basikal kebangsaan Fatehah Mustapa tidak mempamerkan persembahan yang optimum kerana keletihan dan kurang tidur.

Sehubungan itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengambil keputusan untuk menyiasat perkara itu dan tidak menyangka prestasi Fatehah (bawah) terganggu disebabkan masalah paranormal.

Selepas menyiasat lebih mendalam, Khairy berkata, pelumba basikal tersebut mendedahkan bahawa pangsapuri yang menjadi tempat penginapannya sepanjang tempoh Sukan Asia itu berhantu.

“Pengajaran daripada kisah ini bukan sama ada kamu percaya pada hantu atau tidak, tetapi lebih penting lagi, dia fikir ada hantu.

"Perlu tangani masalah ini. Pegawai sepatutnya lakukan sesuatu bagi memastikan prestasi yang lebih cemerlang.

"Mungkin pegawai boleh menemaninya di pangsapuri itu," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran laman web portal Sukan SEA Malaysia 2015.

Selain itu, Ahli Parlimen Rembau itu berkata lagi, keletihan Fatehah itu menyebabkannya beraksi bawah prestasi sebenar dan hanya memenangi pingat perak dalam acara keirin wanita.

Berikutan kejadian itu, Khairy telah mengarahkan Chef de Mission (CDM) kontinjen Malaysia Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria supaya membuat pemantauan yang ketat bagi memastikan prestasi atlet yang lebih cemerlang.

“Tiada perkara terlalu kecil untuk dipandang ringan. Jika perlu, cari hantu itu dan hapuskan hantu itu," katanya yang mengundang ketawa di kalangan hadirin.


Tiada ulasan: