BUTTERWORTH: Dua anggota polis cedera apabila kereta peronda (MPV) yang
dinaiki mereka terbabas dan melanggar tiang rumah setelah dihimpit
sebuah van di Jalan Seri Ara 1, di Butterworth semalam.
Seorang daripada anggota polis itu patah tangan kiri manakala rakan setugasnya cedera di jari telunjuk kiri.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Abdul Rahman Ibrahim
berkata dalam kejadian pada pukul 6 pagi itu, dua koperal polis yang
sedang melakukan rondaan dengan kenderaan MPV cuba menahan van berkenaan
yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.
"Seorang daripada anggota polis itu turut melepaskan tembakan amaran ke
arah van itu selepas pemandu van beberapa kali menghimpit MPV polis.
"Van itu turut terbabas dan melanggar sebuah kereta, tetapi pemandu van dapat melarikan diri," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata semakan awal mendapati van berkenaan dilapor hilang di Sungai Nibong, dekat Butterworth baru-baru ini.
Abdul Rahman berkata dua anggota polis berusia 48 dan 52 tahun itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya.
"Terdapat CCTV di kawasan itu dan polis sedang menelitinya untuk
siasatan lanjut," katanya sambil meminta orang ramai yang mempunyai
maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis
berhampiran bagi membantu siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan