Selasa, 14 April 2015

DAP Lebih Berkenan Azizah Daripada Azmin

RAKYATNEWS


alt


PERMATANG PAUH  - DAP dikatakan lebih suka jika Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dipilih sebagai Ketua Pembangkang berbanding timbalannya yang juga Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.

Jika Dr Wan Azizah memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, beliau akan mengambil alih kerusi yang sebelum ini diisi suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika ini menjalani hukuman penjara lima tahun kerana kesalahan meliwat.

Kerusi Parlimen itu diisytiharkan kosong selepas permohonan keluarga Anwar untuk mendapat pengampunan diraja ditolak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon bagi kerusi parlimen itu pada 25 April, manakala pengundian diadakan pada 7 Mei.

Pemerhati politik berkata, PKR Permatang Pauh berpecah kerana tidak sependapat berhubung pemilihan calon untuk bertanding kerusi itu.

"Daripada lima pihak dalam PKR, tiga menentang Dr Wan Azizah sebagai calon. Malahan, mereka tidak mahu adanya ahli keluarga Anwar bertanding," katanya.

"PKR sepatutnya mendengar suara akar umbi kerana umumnya penduduk di sini tidak lagi mahu melihat drama keluarga Anwar.

"Pada 2008, Dr Wan Azizah meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk membolehkan suaminya bertanding kerusi berkenaan. Ketika itu, beliau juga menyatakan hasratnya untuk bersara dan menjaga cucunya.

"Jadi kali ini, rakyat mahu dengar apa pula alasannya jika mahu kembali ke Permatang Pauh," katanya.

Sumber PAS pula berkata, ia suatu langkah yang sukar untuk jentera parti itu sepanjang kempen PRK Permatang Pauh.

"Ada di kalangan ahli yang berpendapat PAS seharusnya dibenarkan bertanding kerusi itu kerana mempunyai penyokong ramai di kawasan berkenaan.

"Malahan, akar umbi juga tidak berpuas hati dengan PKR  berhubung pendiriannya mengenai hudud," katanya.


Tiada ulasan: