Isnin, 13 April 2015

Anak muda biadab diperlukan!



Oleh Daniel Teoh Tzu Yong 


Hati penulis seronok melihat kerajaan terpaksa berdepan dengan anak muda. Pertembungan sebegini selalunya menjana drama yang tidak banyak berbeza seperti dalam institusi masyarakat seperti keluarga atau sekolah.Jurang generasi bertindak menginsafkan autoriti kerajaan yang bebal lagi bongkak.

Contoh pertembungan yang menyeronokkan ialah pertemuan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan dengan para pelajar (budak) Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Anak muda yang tidak puas hati dan berani meluahkan perasaan mereka, ketika dan selepas program tersebut, boleh diberi label “biadab”. Orang Malaysia pantang biadab, terutama sekali terhadap tangan yang memberi (kerajaan).

Sistem demokrasi ala Malaysia sebenarnya lebih maju kalau bertambahnya anak muda biadab. Negara ini semakin terdesak memerlukan soalan-soalan kritikal dilontarkan kepada pemimpin-pemimpin kerajaan, serta memberi maklum balas sama ada jawapan yang diberikan memuaskan atau tidak.

Sepanjang masa negara ini merdeka, sekian lama komunikasi kerajaan-rakyat bersifat dari atas ke bawah. Anak muda yang biadab mampu mengubah, membaiki dan mengkritik fenomena tidak sihat ini.

Kerajaan “orang-orang tua” ini terpaksa juga berdepan dengan kritikan pedas daripada anak muda biadab. Kami generasi satira dan sindiran. Kami tidak cenderung bersalam-salam atau berbaik-baik sebelum menawarkan kritikan lemah lembut.

Sekiranya jawapan pak menteri tidak berbeza daripada lawak, maka susuk itu dijadikan badut alam maya, atau dalam bahasa siber dikenakan troll. Sekiranya pertanyaan kami tidak dijawab dengan penjelasan memuaskan, atau terdapat percubaan mengalihkan perhatian, anda bakal dikutuk tanpa belas kasihan.

Seperti tweet Datuk Saifuddin Abdullah yang berbunyi “listen listen listen… masak masak masak… lepas ni?”, kami sudah jemu dan muak dengan andaian angkuh sang penguasa. Perkembangan anak muda ini ternyata positif.

Kami banyak berubah dan bertambah berani sejak era “listen listen listen” hingga masa “masak masak masak” sekarang.

Anda silap jika menganggap generasi kami serupa generasi ibu bapa kami. Kami generasi anak muda biadab yang wajib ditakuti kerajaan, bukan sebaliknya.

Fikir dulu sebelum anda menjawab soalan kami. Silap-silap nanti trending dalam Twitter. - themalaysianinsider.com

Tiada ulasan: