SHAH ALAM: Tindakan DAP yang memutuskan hubungan dengan Presiden PAS,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat sebagai strategi halus untuk menolak
pemimpin berkenaan, namun ia tidak akan mempengaruhi sokongan ahli
parti Islam berkenaan terhadap ulama itu.
Menurut penganalisis politik, Datuk Seri Azman Ujang, jika benar itu
adalah matlamat sebenar DAP, maka perkara itu tidak akan menjadi
kenyataan kerana ahli PAS lebih bijak menilai pemimpin mereka.
"Mungkin Datuk Seri Hadi ketegasannya tidak berganjak dalam hal ini,
mungkin dia nampak nak jatuhkan tapi saya tak percaya DAP boleh
menjatuhkan presiden PAS, cuma ahli PAS saja yang boleh jatuhkan
presiden parti mereka sendiri. DAP cuma cuba mempengaruhi tapi takkanlah
ahli PAS nak berdansa ikut rentak DAP. Saya rasa tidak akan berlaku,"
ujarnya kepada Antarapos.
Bekas Ketua Pengarang Bernama itu juga melihat tindakan DAP yang
menjadikan Hadi sebagai sasaran utama adalah demi 'mematikan' ketegasan
pemimpin berkenaan khususnya berkaitan pelaksanaan hukum kanun jenayah
syariah.
"Mungkin pada pandangan DAP, yang bertanggungjawab adalah Presiden
parti. Biasanya Presiden parti bertanggungjawab atas segala tindak
tanduk, jadi sasaran itu kepada presiden parti.. kalau bukan presiden,
mungkin terlalu ramai yang nak disasarkan..ini saya rasa pandangan
peribadi atau pandangan DAP.. Mereka mulakan serangan terhadap presiden
parti kerana setiap presiden mempunyai kuasa mutlak atau kuasa sendiri,"
ujarnya lagi.
Hadi, yang sebelum ini bertegas tentang pelaksanaan hudud di Kelantan,
sekali lagi menimbulkan kemarahan DAP apabila bertindak menghantar notis
usul secara persendirian kepada Speaker Dewan, selepas rang
undang-undang berkenaan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN)
Kelantan pada 19 Mac lalu.
Ia bagi membolehkan hukum kanun jenayah syariah Islam itu dilaksanakan di negeri berkenaan.
Bagaimanapun, pembentangan Rang Undang-Undang persendirian berkaitan
hudud itu, ditangguhkan Dewan Rakyat untuk sesi yang akan datang.
Pendirian nekad PAS itu kata Azman membuktikan bahawa parti Islam itu
mempunyai prinsip perjuangan yang jelas sekaligus menafikan tanggapan
sesetengah pihak yang melihat PAS di bawah telunjuk DAP sebelum ini.
"Disebabkan hudud ini menyentuh soal syariah jadi PAS sebagai sebuah
parti Islam dia bertegas.. kalau soal Kajang dan politik memang boleh
bertolak ansur atau 'accomodate' tapi soal hudud ini memang PAS tegas
dari mula," ujar beliau.
Hari ini DAP menuduh PAS sebagai bekerjasama dengan Umno untuk
membentuk kerajaan perpaduan bagi melaksanakan hudud di Kelantan.
Penasihat DAP Lim Kit Siang mendakwa sebarang pembentukan kerajaan
perpaduan PAS-Umno demi pelaksanaan hukum hudud di Kelantan bukan sahaja
menghancurkan Pakatan Rakyat (PR), tetapi juga mengancam Barisan
Nasional (BN).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan