Tukang masak Syarafi Abu, 25, (tengah) didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh penuntut wanita Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang di Kilometer 228.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Bukit Gantang pada 2 Februari lepas.  - Foto Bernama Tukang masak Syarafi Abu, 25, (tengah) didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh penuntut wanita Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang di Kilometer 228.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Bukit Gantang pada 2 Februari lepas. - Foto Bernama
 
 
TAIPING - Seorang tukang masak didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang penuntut wanita dengan mengelar leher mangsa di Kilometer 228.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Bukit Gantang, dekat sini, 2 Februari lepas.
 
Tertuduh, Syarafi Abu, 25, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Nursyuhada Johari, 20, penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang,  yang meninggal dunia di Hospital Kuala Kangsar, kira-kira pukul 2 petang, pada hari yang sama.
 
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. 
 
Ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Eyu Ghim Siang, tertuduh, yang tidak diwakili peguam, dilihat menggelengkan kepala.
 
"Mahkamah tidak minta pengakuan kamu, cuma tanya sama ada kamu faham atau tidak dengan pertuduhan," kata majistret.
 
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Amril Johari memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk sebutan semula kes berikutan laporan kimia dan bedah siasat mangsa belum siap.
 
Eyu kemudian menetapkan 21 April depan untuk sebutan semula kes dan tidak membenarkan tertuduh dikat jamin.
 
Pada prosiding hari ini, galeri mahkamah dipenuhi anggota keluarga tertuduh,  wartawan dan orang ramai. - Bernama