Isnin, 16 Februari 2015

Tiada Internet tapi Anwar 'tulis' Facebook

MALAYSIAKINI



 
 
 
Ia mungkin aneh bagi sesetengah apabila lelaki yang dipenjara boleh mengemaskini akaun Facebook dan meminta belas ihsan untuk keluar menziarahi majlis pengebumian.

Bagaimanapun perkara itu tidak pelik bagi Jabatan Penjara kerana media sosial banduan masih boleh diuruskan oleh pihak lain.

Perkara itu dijelaskan jabatan itu selepas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim 'memuat naik' status di Facebook pada hari pengebumian bekas menteri besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat.
“Cuma minta sedikit ihsan untuk beri sedikit penghormatan tetapi apakan daya.

"Dari jauh doa dan sentiasa dalam kenangan,” menurut status yang dipertikai itu.

Gambar hitam putih turut dimuat naik bersama status itu, tiga hari selepas Anwar merengkok di penjara Sungai Buloh selepas kalah dalam kes Liwat II pada bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ia mempamerkan saat-saat gembira Anwar bersama allahyarham Nik Aziz pada suatu masa.

Kedua-dua mereka kelihatan tersenyum mesra ketika bergambar bersama enam orang kanak-kanak di ruang tamu sebuah rumah.

Perkara itu dipertikaikan di Internet, menyebabkan Jabatan Penjara semalam tampil dengan penjelasannya.

“Tiada kemudahan Internet untuk Anwar Ibrahim dipenjara.

"Sesiapa boleh operate (kendalikan) Facebook dan Twitter beliau dari luar,” tulis jabatan penjara di Twitter semalam.

Anwar dijatuhkan hukuman penjara lima tahun bermula 10 Februari lalu namun, sehingga kini akaun Facebook dan Twitter miliknya masih aktif.
 

Tiada ulasan: