MALAYSIAKINI
Pemilik sebuah syarikat jual beli emas dan rakannya mendakwa mereka
kerugian lebih RM14 juta setelah menjadi mangsa penipuan ejen urus niaga
dan pengedar jongkong emas.
Pengadu berkenaan, Ismazali Mohd Ismail, 32, yang juga pemilik Syarikat
Habib Gold & Jewelleries di Shah Alam mengaku ditipu ejen terbabit
yang mempunyai sebuah syarikat berdaftar di Seremban.
"Sejak lima bulan lepas, saya sudah membeli jongkong emas dalam skala
kecil dan tiada masalah berurusan dengan ejen berkenaan yang mana setiap
barang yang kita tempah, akan dipenuhi dalam tempoh dijanjikan.
"Tetapi dalam urusan jual beli November lepas yang babitkan jumlah
pembelian yang besar, barang yang dijanjikan gagal disampaikan sehingga
ke hari ini.
"Alasan yang diberikan ialah barang itu tiada. Malah duit saya dan
pembeli lain juga tidak dipulangkan langsung," kata Ismazali pada
pemberita di Kuala Lumpur, Selasa.
Beliau percaya modus operandi ejen berkenaan adalah dengan memancing
pelanggannya membeli jongkong emas pada jumlah yang besar dengan harga
murah berbanding harga sebenar di pasaran sebelum menipu pembeli.
Ismazali berkata beliau telah membuat satu laporan polis di Seremban,
dan telah memfailkan permohonan injunksi ke mahkamah Isnin untuk
tindakan lanjut.
Rakan mangsa yang juga seorang ahli perniagaan, Abdul Malik Dasthigeer
berkata beliau tidak menyangka ejen tersebut sanggup menipu pihak mereka
memandangkan urusan jual beli melibatkan jumlah yang besar.
"Saya meminta orang ramai agar tidak tertipu dengan ejen ini yang masih
lagi berani beroperasi sehingga hari ini dengan iklan-iklan yang
ditampalkan di banyak tempat di Seremban dan Lembah Klang," katanya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan