KUALA LUMPUR: Tindakan pemimpin pembangkang mengangkat Presiden MIC,
Datuk Seri G.Palanivel sebagai pejuang kaum India menimbulkan banyak
persoalan sedangkan krisis dalaman yang sedang melanda parti itu sendiri
masih belum dapat beliau selesaikan.
Bekas Bendahari Agung MIC, Datuk R.Ramanan berkata, sejak seminggu
lalu, beberapa pemimpin pembangkang tampil membela Palanivel kononnya
beliau telah banyak berjasa sedangkan belum nampak secara jelas
sumbangannya kepada masyarakat India terutama selepas menjawat jawatan
Presiden MIC.
“Saya tidak faham mengapa tiba-tiba beberapa pemimpin pembangkang bela
Palanivel? Sebelum ini, mereka juga yang mengkritik kepimpinan
Palanivel. Adakah Palanivel mempunyai hubungan dengan pembangkang
sehingga boleh membelanya sedemikian rupa.
“Saya juga musykil, apa sebenarnya sumbangan Palanivel kepada
masyarakat India sampai pembangkang begitu taksub membelanya? Saya
betul-betul tidak faham apa keistimewaan Palanivel sehingga menjadi
‘kegilaan’ pembangkang,” katanya dipetik Mingguan Malaysia.
Ramanan mengulas laporan akhbar Tamil sejak akhir-akhir ini yang kerap
menggunakan pemimpin pembangkang untuk membela kepimpinan Palanivel yang
kini menjadi bahan kritikan berikutan tindak-tandunknya dalam
menyelesaikan krisis MIC.
Tambah Ramanan, nasib masyarakat India semakin tidak terbela berikutan
sikap acuh tidak acuh Palanivel yang lebih mementingkan agenda peribadi
selain lebih banyak menghabiskan masa di luar negara berbanding
mendapatkan sokongan masyarakat India.
“Sesungguhnya saya tidak faham, mengapa Palanivel masih berdegil untuk
menjawat jawatan Presiden mahupun Menteri. Lebih baik beliau letak
jawatan dan menghabiskan masa beribadat.
“Masyarakat India perlukan seorang pemimpin yang mampu mengubah nasib
mereka, yang boleh membawa perubahan. Barisan Nasional (BN) juga
memerlukan seseorang yang mempunyai kredibiliti bagi mengembalikan
sokongan dan kepercayaan rakyat. Dalam perkara ini, Palanivel telah
gagal,” tegasnya.
Dalam pada itu, Ramanan turut memberikan contoh sikap Palanivel yang
mengecewakan bukan sahaja ahli-ahli MIC malah pemimpin BN termasuk
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri
Muhyiddin Yassin.
“Baru-baru ini, Palanivel mencetuskan kemarahan dengan ‘sengaja’ tidak
hadir dalam pertemuan dengan Perdana Menteri bagi menyelesaikan krisis
MIC yang semakin parah dari hari ke hari.
“Apa yang lebih mengecewakan, beliau boleh bertindak sesuka hati
‘ponteng’ perjumpaan itu dengan alasan isterinya sakit. Apakah beliau
ini benar-benar layak menjadi pemimpin?,” soal Ramanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan