Isnin, 9 Februari 2015

PM tak berani penjara Anwar, kata Rafizi

MALAYSIAKINI



 


Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengetahui nasibnya esok – sama ada beliau kekal bebas atau meringkuk di penjara.

Pada malam ini, beliau mengambil peluang untuk menyampaikan ceramah, yang mungkin buat kali yang penghabisan kepada para pengikutnya.

Ceramah di Padang Timur, Petaling Jaya itu merupakan program kemuncak kepada siri jelajahnya di seluruh negara.

Anwar akan menggunakan peluang ini untuk menyeru kepada para pengikut untuk kekal memberi sokongan kepadanya.

Minggu lepas, Anwar sempat berjenaka dengan wartawan yang membuat liputan acaranya agar tidak sugul dengan sebarang keputusan.

Beliau turut berkongsi kisah dirinya memberitahu cucunya yang "orang jahat mahu sumbat atuk ke penjara".

Esok, pendakwaan dijangka akan merayu agar Anwar dikenakan hukuman berat atas alasan hukuman penjara lima tahun Mahkamah Rayuan tidak mencukupi.

Seperti kes Liwat 1, Anwar tekal mendakwa kes Liwat II kali ini sebagai satu rekaan semata-mata.

Beliau mendakwa menjadi mangsa konspirasi - satu tuduhan yang dinafikan seteru politiknya dalam kerajaan.

Mahkamah Persekutuan akan menentukan sama ada Anwar akan terus bebas atau meringkuk sekurang-kurangnya selama lima tahun dalam penjara.

Beliau sebelum ini disabitkan bersalah atas tuduhan meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada tahun 2008.

Malaysiakini membawakan liputan langsung dari majlis makan malam ini.

LANGSUNG

9pm: Anwar memberi ucapan di hadapan kira-kira 2,000 orang hadirin yang memenuhi 200 buah meja majlis makan malam di Padang Timur.

"Anwar di luarkah, Anwar di dalamkah, Pakatan Rakyat padu, maju untuk Malaysia," kata Anwar cuba meyakinkan hadirin yang rata-rata khusyuk menikmati makan malam mereka.

Anwar kemudian menjemput isterinya merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ke atas pentas untuk berucap selepas beliau.

"Saya sekarang jemput heroin saya, Wan Azizah untuk ke pentas.

"Saya hendak tinggalkan Kit Siang tak susah sangat, tapi nak tinggalkan Azizah ini ...cukup susah," kata Anwar disambut tepukan hadirin.

Majlis makan malam di kawasan bawah khemah itu berakhir sebaik ucapannya tamat.

Pengerusi majlis meminta hadirin bergerak ke kawasan padangan untuk mengikuti Ceramah Perdana.

Dalam ucapan menggunakan bahasa Mandarin, pangacara majlis tersebut mempromosikan ceramah tersebut sebagai "amanat terakhir" Anwar.

9.40pm: MP Subang, Sivara Rasiah membuka pentas ceramah malam ini dengan ucapan di hadapan hadirin yang sebilangannya bersila di atas padang.

"Saiful Bukhari ini kata dia diliwat banyak kali.

"Tapi dia ini banyak lubang. Banyak lubang dalam cerita dia," kata Sivarasa.

9.50pm: Naib presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mandor tentunya tidak berani memenjarakan Anwar.

"Saya yakin Rosmah ada dengar ceramah kita sebab bulan lepas ceramah saya di Bandar Tun Razak tentang tarikan subsidi oleh kerajaan.

"Lepas itu dia kata nak saman kita, tapi surat saman belum sampai lagi.

"Sebab tu saya kata dia tak berani penjara Anwar.

"Tapi kalau Anwar dipenjarakan, ratus ribu akan turun ke jalan raya!," katanya.

10.35pm: MB Selangor Azmin Ali menggesa penyokong Anwar yang beragama Islam menunaikan solat hajat untuk memohon pembebasan Anwar.

"Yang beragama Islam, malam ini bangun solat hajat mohon Anwar dibebaskan," kata Azmin.

10.40pm: Sasterawan Negara Pak Samad mendeklamasi sebuah puisi berjudul 'Malam Anwar', khas buat ketua pembangkang itu.

Beliau menyeru orang ramai kumpul ramai-ramai esok dengan keazaman yang kuat seperti besi.

10.50pm: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu memuji keberanian Anwar menghadapi perbicaraan esok walaupun beliau bukanlah seorang yang sempurna.

"Saudara Anwar kita boleh kritik dia. Kita boleh puji dia.

"Tapi satu perkara kita tak boleh buat, Datuk Seri Anwar seorang yang berani," kata Mohamad Sabu.

Tiada ulasan: