Ahad, 1 Februari 2015

Penguasaan B.Inggeris pelajar perlu dipertingkat

SINAR HARIAN

Mohamad Hasan
 
 
SEREMBAN - Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata usaha perlu dilakukan bagi mempertingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar di luar bandar di negeri ini.
  
Katanya ini kerana beliau mendapati jurang keputusan pelajaran di peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di bandar dan luar bandar melebihi tiga peratus.
  
"Saya bimbang jika tidak berbuat apa-apa jurang ini semakin besar dari semasa ke semasa dan satu perkara yang amat jelas mengapa sekolah-sekolah di luar bandar tercicir adalah disebabkan satu subjek iaitu Bahasa Inggeris," katanya ketika berucap pada majlis jamuan malam 'Budi Dikenang, Jasa Disanjung' anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Negeri Sembilan di sini malam tadi.
  
Katanya beliau telah menetapkan satu hala tuju supaya Negeri Sembilan berada di kedudukan lima teratas di peringkat nasional dalam bidang pendidikan selepas  prestasi pendidikan aliran agama di negeri ini semakin meningkat apabila keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) baru-baru ini menyaksikan Negeri Sembilan menduduki tempat pertama di peringkat nasional.
  
Sambil melahirkan rasa syukur dengan perkembangan itu, Mohamad berharap agar kejayaan tersebut akan terus dikekalkan.
    
Turut hadir di majlis itu, Presiden Mubarak Malaysia Tan Sri Abdul Aziz Rahman, Naib Presiden Mubarak Malaysia Datuk Mohd Yazid Baba dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hassan.
    
Sementara itu, Mohamad mahu para pemimpin di setiap peringkat supaya mengamalkan budaya kerja positif bagi membangunkan negeri ini demi kepentingan penduduk negeri ini.
  
"Banyakkan kerja bukan banyak bercakap. Jadilah pemimpin ukuran, bukan siaran. Pemimpin yang boleh diukur gerak kerjanya daripada menjadi pemimpin siaran yang ke hulu ke hilir namun tak ada apa-apa. Jadi, ini budaya yang saya hendak tanamkan melalui cara berfikir dan bekerja di Negeri Sembilan," katanya.  - Bernama

Tiada ulasan: