Abdul Naser Abdul Rahman Abdul Naser Abdul Rahman
 
 
SHAH ALAM – Persatuan Cina Muslim digesa bersikap lebih agresif dalam menjalankan kerja dakwah kepada orang bukan Islam.

Tokoh Pendakwah Perak, Abdul Naser Abdul Rahman berkata, ini berikutan sikap mereka yang lebih gemar menyerahkan usaha berdakwah kepada orang Melayu.

“Mereka merasakan orang Melayu lebih pandai bab agama dan kami hanya mualaf. Takkan sudah 20 tahun masuk Islam masih mahu dipanggil mualaf lagi.

“Mana sikap Cina Muslim yang rajin? Kerajinan bukan setakat dalam perniagaan tetapi Cina Muslim juga perlu tunjukkan kerajinan dalam hal agama,” katanya dalam sesi wawancara di Karnival Karangkraf 2015, di sini, semalam.

Beliau yang turut dikenali sebagai Xifu Naser berkata, masyarakat Cina Muslim juga perlu sedar peranan penting menentukan keputusan berkaitan hal berkaitan Islam.

“Misalnya, mereka boleh menasihatkan atau bermuzakarah dengan pihak berkuasa agama. Jadi, apabila sesuatu fatwa itu diisytiharkan ia bersesuaian dan boleh diterima pelbagai bangsa.

“Namun, saya tidak nampak pergerakan Cina Islam ke arah ini. Mereka seharusnya lebih berani ke depan dan menyuarakan pendirian dalam isu semasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berpandangan agar gelaran mualaf tidak lagi diberikan kepada orang bukan Islam yang telah memeluk Islam lebih lima tahun.

“Ramai mualaf yang dibuang keluarga dan hidup sebatang kara. Jadi mualaf akan diberi bantuan sebagai asnaf untuk berdikari dalam tempoh lima tahun.

“Tetapi selepas lima tahun, jangan panggil mualaf lagi melainkan pihak berkuasa tidak menolongnya dan beri pendidikan sehingga imannya tergugat. Ini bukan salah dia tapi salah pihak berkuasa yang tidak mendidiknya,” katanya.