MALAYSIAKINI
MP DAP Segambut Lim Lip Eng membuat laporan polis berhubung dakwaan
bekas anggota pasukan unit tindakan khas Sirul Azhar Umar mengenai motif
dan pihak yang memberikan arahan kepada beliau dan rakan sejawatnya
Azilah Hadri.
Mereka berdua disabitkan kesalahan membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dan berdepan hukuman mati.
Lim membuat laporan polis itu di Balai Polis Dang Wangi pagi ini selepas membaca satu artikel yang memetik Sirul di The Sydney Morning Herald semalam.
Artikel itu bertajuk "Convicted Malaysian cop Sirul Azhar Umar breaks silence about death of model Altantuya Shaariibuu".
"Saya membuat laporan ini agar satu siasatan dimulakan ke atas kenyataan
Sirul tersebut yang serius khususnya berkenaan siapa yang mempunyai
motif tersebut dan mengarahkan pembunuhan Altantuya Shaariibu," laporan
polis itu dipetik.
Lim yang juga seorang peguam turut melampirkan satu salinan tulisan itu sebagai rujukan kepada pihak polis.
Laporan media Australia itu memetik Sirul sebagai berkata beliau
bertindak membunuh wanita itu kerana "beliau hanya mengikut arahan dan
orang penting dengan motifnya masih lagi bebas".
Dalam laporan eksklusif Malaysiakini semalam, Sirul - yang kini ditahan oleh imigresen Australia – mempersoal akibat yang ditanggungnya hanya kerana mengikut arahan.
Ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini, Lim berkata pendedahan
terbaru itu membolehkan Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Khalid Abu
Bakar membuat siasatan baru berhubung perkara itu.
"Saya rasa IGP kena buat siasatan (baru). Sebagai IGP, beliau tidak
boleh kata mungkin ada orang memperalatkan dia (Sirul). Ini satu
kenyataan yang tidak bertanggungjawab.
"Sebagai IGP, siasatan belum mula, kenapa nak buat keputusan. Tutup mulut dan buat siasatan," katanya.
Diminta mengulas mengenai reaksi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
yang menyifatkan pendedahan Sirul itu sebagai "mengarut", Lim hanya
hanya menjawab dengan memberi pepatah Melayu "siapa makan cili, dia
terasa pedas."
"Sirul tak sebut (siapa). (Jadi) kerajaan mesti buat siasatan. Hantar
pasukan penyiasat dan ambil kenyataan daripada Sirul," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan