Isnin, 2 Februari 2015

Milosuam: 'Kalau tak berani, berhenti sekarang'

MALAYSIAKINI



 


Penulis blog pro-PKR, Yusuf Al-Siddique yang mengendalikan blog Milosuam mengaku bahawa blog politik seperti yang dikendalikanya mampu menjana sumber pendapatan.

Beliau bagaimanapun menolak anggapan umum yang menyangka mereka mempunyai majikan dari kalangan ahli politik sesetengah parti.

Sebaliknya, pendapatan itu dijana dari pengiklan yang mengiklan di blognya kerana trafik pelawat yang tinggi.

"Kalau nak kata saya dibiaya secara khusus (oleh ahli politik) you tulis blog I dibayar, itu tidak benar.

"Adakah blog ini menghasilkan duit? Ada. Saya ada iklan jadi semua penulis-penulis ini ada mendapat bahagianlah.

"Sebelum ini (duit) dari Innity dan Google Adsense - jadi memang ada menghasilkan duitlah," katanya yang mengaku mengendalikan blog itu bersama beberapa pengendali yang lain sebelum ini.

Namun selepas kesnya dibicarakan di mahkamah, nama 'Milosuam' lekat sebagai nama penanya dan beliau dikenali dengan nama tersebut apabila pergi ke mana-mana selepas itu.

Yusuf kini sedang merayu hukuman penjara dua tahun ke atasnya selepas diputuskan bersalah bawah Seksyen 505, Kanun Keseksaan menerusi rencana yang diterbitkan di blog Milosuam.

Menurut Yusuf, beliau pada mulanya terkejut dengan publisiti yang diterimanya selepas ditahan beberapa hari sebelum pilihan raya umum tahun 2013.

Menurutnya, beliau diberi sambutan seperti seorang selebriti apabila pulang ke Batu Pahat untuk membuang undi.

"Apabila saya balik (Batu Pahat), saya pergi mengundi orang semua macam sudah kenal.

"Datang dekat saya dan mahu ambil gambar kata saya pejuang beranilah dan ada keluarga yang bawa anak-anak, dia turut minta ambil gambar dengan keluarga dia.

"Saya pun masa itu fikir agak-agaknya betul-betul kecoh (di luar lokap) sebab saya ada di dalam (lokap) saya tak tahu," kata Yusuf sewaktu diwawancara Malaysiakini.

Menurutnya lagi, rakan-rakan penulis blog Milosuam yang lain tiada masalah apabila beliau lebih dikenali sebagai wajah kepada blog itu.

Menurutnya, beliau sedia memikul beban tersebut kerana beliau yakin rakan-rakan penulis blog Milosuam yang lain akan turut berbuat perkara yang sama jika berada di tempatnya.

"(Mereka kata) awak sekarang secara rasminya pemilik Milosuam.

"Kalau orang lain kena, saya undur. Sekarang saya kena, orang lain undur dan buat kerja lain," katanya.

Menurut Yusof, beliau turut pernah didekati ahli politik Umno yang mahukannya menulis tentang musuh ahli politik tersebut.

"Kadang-kadang berlaku pergolakan dalam Umno - ada benda yang hendak disampaikan - jadi mereka minta saya tulis," katanya.

Ditanya tentang perasaannya selepas didakwa dan dikenakan hukuman penjara dua tahun, Yusuf berkata:

"Terus terang sebelum jatuh hukum saya agak takut. Saya rasa macam mungkin saya perlu kendurkan tulisan, jangan terlalu tajam.

"Apabila sudah kena macam ini saya semakin bersemangat. Alang-alang menyeluk pekasam biarlah sampai ke pangkal lengan. Alang-alang dah kena, jalan terus.

"Apabila dengar hakim kata kena penjara dua tahun saya terpukul tapi saat itu saya kuatkan mental.

"Saya kata inilah sunnah pejuang - saya redha. Kalau masuk (penjara), masuklah".

Kepada penulis-penulis blog pro-Pakatan Rakyat yang lain, Yusuf menyampaikan pesanan berikut:

"Kita duduk dalam bidang ini bukan kita tak tahu risikonya. Dari awal kita melakukan sesuatu yang ada risiko yang tinggi.

"Kalau tak sanggup hadapi risiko, duduk rumah makan kacang. Jalan ini yang kita pilih, risiko itulah yg kita perlu tanggung.

"Kalau tak berani, berhenti sekarang".

Tiada ulasan: