THE MALAYSIAN INSIDER
Presiden MIC Datuk
Seri G Palanivel hari ini menggantung keahlian 3 pemimpin parti selama
setahun kerana mengadakan mesyuarat "tidak sah" di ibu pejabat parti itu
pada Jumaat.
Mereka ialah Sakthivel Alagappan, Datuk Jaspal Singh dan Datuk Mogan
Velayatham yang masing-masing merupakan setiausaha agung, bendahari
agung dan pegawai penerangan parti dalam barisan jawatankuasa kerja
pusat 2009.
Palanivel berkata mereka bertiga tidak menghiraukannya dan terus
mengadakan mesyuarat itu walaupun beliau menghantar surat kepada
Sakthivel pada Khamis, mengarahkan perjumpaan itu dibatalkan.
"Tidak diragui lagi yang tindakan individu-individu ini jelas memudaratkan kepentingan MIC.
"Dengan kuasa yang diberi kepada saya sebagai presiden MIC di bawah
Perkara 61.1 Perlembagaan MIC, saya menggantung keahlian mereka dalam
MIC untuk tempoh 12 bulan berkuatkuasa serta-merta," katanya dalam satu
kenyataan hari ini.
Palanivel berkata surat penggantungan dikeluarkan kepada ketiga-tiga mereka semalam.
Parti komponen Barisan Nasional (BN) yang mewakili kaum India itu
sedang menghadapi krisis selepas Pendaftar Pertubuhan (RoS)
mengarahkannya mengadakan pemilihan baru bagi jawatan eksekutif tertentu
dan jawatan dalam jawatankuasa kerja pusat, atau berdepan risiko parti
dibatalkan.
Tetapi, Palanivel dituduh menangguhkan urusan pemilihan baru dengan
harapan mengukuhkan pengaruhnya ke atas parti melalui pelantikan
pemimpin negeri yang baru.
Ini menimbulkan kemarahan pengkritiknya walaupun beliau menegaskan
sedang melakukan yang terbaik bagi menyelesaikan permasalahan.
Palanivel berkata hari ini, 3 pemimpin itu bukan pemegang jawatan kanan
dalam parti, kerana Perkara 49 perlembagaan parti jelas memperuntukkan
yang hak tunggal dan mutlak melantik setiausaha agung, bendahari agung
dan pegawai penerangan terletak pada presiden.
Katanya, beliau melantik Datuk S Sothinathan, Datuk S Murugesan dan L
Sivasubramaniam sebagai setiausaha agung, bendahari agung dan pegawai
penerangan MIC, dan pengumuman tersebut dibuat pada 9 Februari.
Sakthivel dilantik setiausaha agung oleh Palanivel pada Mei tahun
lepas, dan memegang jawatan itu selama kira-kira 7 bulan sebelum dia
digantikan oleh A Prakash Rao.
Bagaimanapun, Palanivel menggantikan Prakash Rao dengan Datuk Kumar
Silambaram awal Januari tahun ini sebelum diganti pula dengan dengan
Sothinathan Isnin lepas.
Sebelum Sakthivel, jawatan tersebut dipegang S Murugesan, yang dilantik
Palanivel, yang meletak jawatan berikutan prestasi buruk parti itu pada
Pilihan Raya Umum ke-13.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan