OLEH JAMILAH KAMARUDIN
Timbalan
Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam hari ini menyatakan hasratnya
bertanding kerusi nombor satu parti, menentang penyandangnya Datuk Seri G
Palanivel.
Mendakwa mendapat sokongan majoriti ahli yang katanya rata-rata tidak
lagi mempercayai kepimpinan sekarang, beliau juga menyarankan Palanivel
memberi laluan mudah kepadanya dengan mengundur diri secara sukarela.
"Saya membuat keputusan ini setelah melihat keadaan MIC sekarang, ia
dibuat atas kepentingan masyarakat India, ahli MIC dan bagi memastikan
masa depan yang cerah untuk parti," katanya pada satu sidang media di
Kuala Lumpur.
Terdahulu, Subramaniam membuat pengumuman bertanding kerusi presiden
itu di hadapan lebih 1,000 perwakilan MIC yang hadir dalam satu
perhimpunan bagi menyatakan sokongan terhadapnya.
Pengumumannya mendapat sokongan dari pemimpin lain yang hadir termasuk
Naib Presiden G Saravanan, Ketua Wanita Mohana Muniandy dan Ketua Pemuda
Sivarraajh Chandran.
Dengan pengumuman itu, ini kali pertama dalam tempoh 22 tahun kerusi
presiden MIC itu dipertandingkan. Semalam, Palanivel mengesahkan hasrat
mempertahankan kerusi itu.
Subramaniam berkata, tindakan itu dibuat kerana merasakan ada keperluan
besar untuk melakukan perubahan dalam kepimpinan MIC dan bimbang akan
hilang kekuatan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang jika ia
tidak selesai sekarang.
"Kalau hendak berjaya PRU14 kena ada usaha kukuhkan parti mulai pada
hari ini. Kalau tidak selesaikan dalam tempoh setahun, akan datang susah
hendak bawa parti ke hadapan," katanya.
Mendakwa memperoleh sokongan dua pertiga akar umbi, beliau yang juga
menteri kesihatan mencadangkan Palanivel meletak jawatan secara sukarela
supaya tidak ada perebutan jawatan tertinggi parti dalam pemilihan
semula yang akan diadakan kelak.
Katanya, sokongan yang diterimanya melibatkan 102 daripada keseluruhan
150 ketua bahagian MIC serta 2,500 daripada keseluruhan 3,700 cawangan
parti seluruh negara.
"Ini lebih daripada majoriti. Apa yang saya boleh lihat, saya mendapat sokongan majoriti untuk bertanding dalam pemilihan ini.
"Kalau Palanivel ambil iktibar, dan secara kompromi mahu mengumumkan
satu keputusan menawarkan diri untuk berundur daripada jawatan presiden,
lebih senang. Perkara ini kita boleh selesaikan sendiri.
"Kalau tidak, kita akan bertanding," katanya.
Katanya, jumlah kehadiran besar ketua cawangan dan bahagian MIC yang
hadir hari ini membuktikan akar umbi sudah hilang kepercayaan kepada
kepimpinan tertinggi yang ada sekarang.
Ia akibat krisis dalaman parti sehingga memaksa Pertubuhan Pendaftar
(RoS) membubarkan semua pemegang jawatan pada peringkat Jawatankuasa
Kerja Pusat (CWC) dan mengarahkan pemilihan semula, katanya.
Subramaniam berkata, apabila pemimpin akar umbi melihat krisis dalam
kepimpinan parti, mereka hilang kepercayaan terhadap pemimpin.
"Dalam sejarah MIC, tidak pernah sejumlah besar ketua cawangan dan bahagian datang ke perjumpaan dengan timbalan presiden.
"Kalau mereka datang secara sukarela, bermaksud dalam hati mereka tidak puas hati," katanya.
Subramaniam dalam perjumpaan hari ini turut menjelaskan kepada akar
umbi yang barisan kepimpinan CWC yang dilantik pada 2009 akan mentadbir
MIC buat sementara waktu sehingga selesai pemilihan semula.
Perkara itu mendapat persetujuan sebulat suara ahli parti yang hadir.
Katanya, beliau akan berjumpa dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN)
Datuk Seri Najib Razak esok bagi menyampaikan hasratnya bertanding dalam
pemilihan pada Mei akan datang.
Mengulas tindakan Palanivel menggantung keanggotaan A Sakthivel,
Senator Datuk Jaspal Singh dan Datuk V Mogan selama 12 bulan kerana
mengadakan mesyuarat "haram", Subramaniam berkata keputusan itu tidak
adil.
Katanya, memandangkan RoS mengiktiraf barisan CWC 2009, mereka berhak menghadiri mesyuarat itu.
"Tidak ada asas untuk pergantungan ini dan mereka mesti membuat rayuan.
Kita akan beri sokongan penuh kepada mereka kerana ia tidak selaras
dengan keputusan yang dibuat RoS,” katanya.
Sementara itu, Saravanan ketika ditanya sama ada mahu meneruskan
hasratnya bertanding presiden, beliau menyatakan sokongan penuh kepada
Subramaniam dan mahu isu kerusi presiden diselesaikan segera.
"Saya sokong Subramaniam sepenuhnya. Kalau isu presiden selesai, semua masalah selesai. Masalah kita ialah presiden," katanya.
Saravanan pada 3 Februari lalu dilaporkan berkata beliau mungkin
bertanding jawatan timbalan presiden atau presiden sekiranya mendapat
mandat dan sokongan akar umbi.
Pemilihan semula MIC akan bermula Mei hingga hujung Julai, melibatkan
peringkat cawangan pada April, bahagian pada Mei dan peringkat pusat
pada Jun dan Julai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan