Haron Din
SHAH ALAM - Pendirian Pas dalam melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah
Syariah (II) 1993 atau hudud di Kelantan tidak mampu diganggu-gugat oleh
mana-mana pihak termasuk DAP, tegas Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk
Haron Din.
Katanya, Pas tidak akan tunduk dengan desakan mana-mana pihak untuk
menangguhkan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan dan sentiasa berikhtiar
mencari "jalan terbaik" sepertimana yang diamanahkan bekas Menteri
Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
"Tok Guru ada pesan, kita kena cari jalan terbaik untuk laksanakan
hudud di Kelantan kerana itu amanah ALLAH. DAP dan sesiapa sahaja yang
nak bangkang hudud semahu-mahunya, bangkanglah! Pas akan laksanakan
hudud seboleh-bolehnya," katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari
ini.
Semalam, Sinar Harian melaporkan wasiat terakhir Allahyarham Nik Aziz
yang mahu hudud tetap dilaksanakan di Kelantan walaupun beliau sudah
tiada.
“Ayah nak walaupun dia tutup mata, hudud kena buat juga di Kelantan,” kata anaknya Nik Abduh kepada Sinar Harian.
[ARTIKEL BERKAITAN: Hudud amanat terakhir ayah, kata Nik Abduh]
Menurut Nik Abduh, Allahyarham kerap menyebut pelaksanaan hudud itu
kerana ayahandanya adalah pencetus idea pelaksanaan hukum tersebut di
Kelantan, walaupun tidak lagi memegang jawatan menteri besar.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob dipetik sebagai berkata,
sidang Khas Dun Kelantan berhubung pelaksanaan hudud di negeri itu akan
dilaksanakan selepas ‘trauma banjir’ di negeri itu pulih.
[ARTIKEL BERKAITAN: Hudud di Kelantan tidak akan ditangguh]
Terdahulu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang mencadangkan agar pelaksanaan
pilihanraya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan hudud ditangguhkan
sehingga tahun 2023 bagi menyelamatkan PR menjelang PRU14 akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan