Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semasa sidang media berhubung isu parti MIC di Putrajaya, hari ini. Turut sama ialah Setiausaha Kerja BN, Datuk Abu Khamis (kanan).  - Foto Bernama Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semasa sidang media berhubung isu parti MIC di Putrajaya, hari ini. Turut sama ialah Setiausaha Kerja BN, Datuk Abu Khamis (kanan). - Foto Bernama
 
 
PUTRAJAYA - Mesyuarat peringkat tinggi BN hari ini mencadangkan penubuhan sebuah sekretariat khas bagi membantu MIC membuat pembersihan semua cawangan, bahagian serta menjalankan proses pemilihan semula parti mengikut perlembagaan MIC.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, sekretariat itu dicadang ditubuhkan secepat mungkin dan dipengerusikan Setiausaha Kerja BN Datuk Abu Khamis serta dianggotai parti komponen BN yang tidak berkaitan dengan kaum India seperti MCA dan Gerakan.

Perkara itu dicadangkan dalam satu mesyuarat yang dihadiri Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam dan beliau sendiri, kata Tengku Adnan pada sidang akhbar di sini.

Beliau berkata Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel tidak hadir pada mesyuarat yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri itu tetapi menghantar khidmat pesanan ringkas kepada Najib memaklumkan isterinya sakit dada.

Beliau menghantar wakil, Naib Presiden MIC Datuk S.Sothinathan yang tidak dibenarkan masuk menghadiri mesyuarat itu.

Tengku Adnan berkata kepimpinan tertinggi BN hanya ingin berjumpa dengan Palanivel dan Dr Subramaniam untuk menyelesaikan kemelut MIC, dan bukannya Sothinathan.

"Cadangan itu telah dipersetujui Dr Subramaniam, manakala Palanivel belum menyatakan beliau. Kami berharap perkara ini dapat dipersetujui hari ini," katanya.

Menurut Tengku Adnan, beliau telah memaklumkan kepada Sothinathan yang  menunggu di luar bilik mesyuarat mengenai cadangan penubuhan sekretariat itu dan Sothinathan menegaskan kepada beliau, cadangan itu tidak akan memberi kuasa kepada presiden.

Tengku Adnan berkata antara cadangan lain mesyuarat itu ialah untuk terus mengguna pakai Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) 2009 sehingga pemilihan baharu, manakala semua sembilan jawatan lantikan oleh presiden MIC pada 2009 tidak diambil kira.

"Kami juga cadangkan bahawa dalam tempoh pemilihan baharu ini, presiden tidak boleh melantik sembilan jawatan baharu.

"Selepas sekretariat menyelesaikan isu pembersihan cawangan dan bahagian, barulah kita akan minta jawatankuasa pemilihan MIC yang dipersetujui bersama Tan Sri K.Kumaran (pengerusi jawatankuasa pemilihan jawatan presiden 2013) untuk mempengerusikan jawatankuasa itu dan menjalankan proses pemilihan," katanya. -Bernama