TANAH MERAH - Sebanyak dua juta naskhah Buku Panduan Harga Pengguna melibatkan 500 jenis barangan selepas sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan 1 April ini, mula diedarkan di seluruh negara bermula hari ini.
  
Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad berkata, buku panduan berkenaan itu menyenaraikan harga barangan sebelum dan selepas GST diperkenalkan.
  
"Data harga adalah berdasarkan harga purata bulan November tahun lepas, purata harga itu kita jadikan asas panduan," katanya kepada pemberita selepas Program Mesra KPDNKK bersama-sama Penduduk Kampung Kuala Tiga di sini, hari ini.
  
Beliau berkata buku panduan itu akan diedarkan di seluruh negara mengikut Zon Utara, Tengah, Timur, Selatan, Sabah dan Zon Sarawak dan orang ramai juga boleh mendapatkannya menerusi laman web KPDNKK.
  
"Buku panduan ini adalah untuk panduan harga barang sehingga Jun tahun ini dan kita akan kemaskini kemudian dalam laman web rasmi KPDNKK," katanya.   
  
Dalam perkembangan berkaitan, Alias berkata walaupun kesedaran pengguna mengenai pelaksanaan sistem GST semakin meningkat namun kementeriannya menjangka bilangan aduan daripada orang ramai berhubung harga barangan selepas GST akan turut meningkat.
  
"Misalnya, negara Australia yang melaksanakan GST pada tahun 2000 dan enam bulan pertama terdapat 68,000 aduan dilaporkan," katanya.
  
Pada majlis itu, sebanyak 230 penduduk yang terjejas akibat banjir di kampung berkenaan bulan lepas menerima bantuan berupa bekalan makanan daripada KPDNKK.
  
Majlis itu turut dihadiri Pengarah KPDNKK Kelantan, Ab Ghani Harun dan Anggota Parlimen Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisyam Abdul Aziz. - Bernama