Sebahagian suspek yang direman di mahkamah, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh KHIRU SHALEH ABDULLAH
KOTA BHARU - Gadis berusia 23 yang menjadi rebutan hingga berlaku
insiden tembakan di Jalan Kebun Sultan, di sini, semalam menjadi antara
12 yang direman seminggu di Mahkamah Kota Bharu, di sini, hari ini.
Perintah tahanan reman terhadap mereka yang berusia antara 20 dan 27
tahun itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Majistret, Rozita Md
Saad.
Kumpulan pertama yang terdiri daripada lima lelaki dibawa ke mahkamah
itu pada sebelah pagi, manakala kumpulan kedua termasuk gadis terbabit
hadir pada sebelah petang, hari sama.
Reman terhadap mereka berkuat kuasa semalam sehingga 16 Februari ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim ketika dihubungi mengesahkan
perkara itu.
Semalam, mereka ditahan di sebuah presmis yang disewa di Jalan Sri
Cemerlang, di sini, selang lima jam selepas berlaku tembakan di hadapan
sebuah restoran, di situ, manakala tujuh lagi hadir ke balai polis.
Dua kumpulan terdiri daripada lima dan tujuh orang sebelumnya dikatakan
mengadakan perbincangan untuk menyelesaikan masalah perebutan seorang
gadis tersebut sebelum gadis itu memilih kumpulan tujuh orang sehingga
kumpulan yang satu lagi berang dan melepaskan tembakan.
Gadis terbabit dikaitkan dengan memuatnaik ‘pose-pose’ manja di Facebooknya hingga menjadi rebutan kumpulan berkenaan.
Dua das tembakan yang dilepaskan kena pada kereta jenis Toyota Avanza
milik orang awam dan Perodua Kelisa yang dinaiki sebahagian anggota
kumpulan tujuh orang berkenaan.
Polis turut merampas sepucuk pistol berisi tiga peluru hidup, dua kelongsong dan satu sarung pedang.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu. Kes disiasat mengikut
Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 148
Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan