Roketkini.com
MUAR: Kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyalahkan DAP dan pembangkang kerana kenaikan harga barang membuktikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu tidak membuat kerja.
Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Johor Ahmad Anwar Asyraf dalam satu kenyataan berkata, sebagai menteri Ismail bertanggungjawab menjadikan negara ini berada dalam keadaan kondusif buat semua warganya, termasuklah dalam isu harga barang.
“Ismail Sabri ini ibarat pepatah Melayu, ‘buruk muka, cermin dibelah’.
“Cukuplah memalukan diri sendiri setelah mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan kenaikan harga barang dengan aspek perkauman sempit.
“Saya menasihatkan Ismail Sabri untuk kurangkan bercakap dan mula membuat kerja,” kata Anwar dalam kenyataannya hari ini.
Ismail hari dilaporkan berkata, pembangkang sering menggunakan isu kenaikan harga barang untuk menyalahkan kerajaan.
Anehnya, Ismail meminta pula rakyat Malaysia untuk melupakan kenyataan perkaumannya yang dikirim ke laman Facebook minggu lalu.
Sedangkan, parlimen Malaysia sendiri meluluskan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 dan mula menguatkuasakannya pada 1 April 2011.
“Melalui akta ini pihak berkuasa boleh bertindak segera terhadap peniaga yang mengaut keuntungan berlebihan dan akan menjadi satu platform penting yang menjaga hak dan kepentingan pengguna,” kata Anwar.
“Lebih merunsingkan, kenyataan Ismail Sabri menunjukkan seolah-olah beliau tidak mengetahui kewujudan akta ini.
“Walhal beliau sendiri pernah menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada tahun 2009 hingga 2013,” ujarnya.
Namun soal Anwar, mengapa masih terdapat peniaga meraih keuntungan berlipat ganda, ketika akta kawalan harga dan anti pencatutan telah diwartakan.
“Adakah Ismail memberitahu dunia bahawa jentera Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan tidak berfungsi untuk menguatkuasakan akta ini?
“(Atau) adakah wujud elemen rasuah di kalangan badan berkuasa tersebut?
“Persoalan-persoalan ini perlu dijawab Ismail Sabri sebelum menuding jari kepada DAP dan pembangkang,” kata Anwar. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan