Ahad, 2 November 2014

Mampukah Najib menangguhkan GST?

DR DZULKEFLY AHMAD


 


Kritikan Tengku Razaleigh Hamzah pada saat-saat ini adalah sangat menggugat kedudukan kerajaan Persekutuan.

Selaku mantan menteri kewangan, beliau masih punya pengaruh politik yang luas dan pandangannya masih berbisa dalam tadbir-urus kewangan negara.

Belanjawaan 2015 merupakan ikhtiar Datuk Seri Najib Razak bagi mengimbangi tuntutan fiskal dan keperluan rakyat. Dewan Rakyat sedang sengit membahaskan belanjawaan ini.

Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau GST, adalah antara peruntukan penting dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2015.

Sebagai sebuah sistem percukaian yang berasas-meluas (broad-based) yang kononnya lebih adil, pentadbiran Najib telah berkempen agresif untuk rakyat terima propaganda mereka.

Betul ia sedikit membebankan rakyat dakwa mereka, tetapi slogan dan tag-line kempen BN adalah ‘GST baik untuk anda dan akan membantu rakyat’.

Lebih berani lagi, ada tag-line yang berbunyi ‘GST menurunkan harga barangan dan perkhidmatan’.

Peliknya, bagi mengurangkan beban yang bakal ditanggung rakyat, kerajaan prihatin Najib dan BN telah meningkatkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) dan pelbagai pengurangan cukai pendapatan peribadi dan korporat.

Dalam surat setebal 16 muka surat yang diedarkannya, Ku Li (panggilan mesranya) memohon semua ahli parlimen menyokong usulnya untuk GST ditangguhkan. Ku Li lantas mengecam Najib sebagai tidak peduli rakyat atau ‘uncaring’!

Bagai dek kata, kalau Najib punya kawan seperti Ku Li dalam BN, maka dia tidak lagi memerlukan seteru dan musuh seperti Pakatan Rakyat.

Kukuh saranan Ku Li

Penulisan ringkas ini bertujuan untuk mengukuhkan saranan dan usul Ku Li ini.

Gesaan Ahli Parlimen Gua Musang supaya GST ditangguh, selari dengan Bajet 2015 Pakatan Rakyat. Kedua-dua Pakatan Rakyat dan Ku Li tidak menolak GST sebagai sistem cukai yang punya kebaikan tersendiri berbanding sistem cukai lama Jualan dan Perkhidmatan atau SST.

Namun perlaksanaan secara gelojoh bakal membeban rakyat. Juga, beberapa syarat ketat mengikut perspektif Pakatan Rakyat wajar dan wajib dipenuhi dahulu.

Ini adalah untuk  mengurangkan sifat ‘regresif’ GST yang mencetuskan impak negatif dan beban yang lebih parah kepada golongan berpendapatan rendah pada perbelanjaan yang sama. Perkara-perkara tersebut tidak perlu diulangi di sini.

Maka wajarkah Najib menangguhkan perlaksanaan GST? Apakah hujah-hujah terkini?

Pendeknya, Pakatan Rakyat dan kini Ku Li meyakini bahawa pentadbiran Najib silap membaca atau tidak mempedulikan senario ekonomi tahun 2015.

Menafikan atau sengaja tidak membuat perhitungan senario ekonomi global bakal membawa impak buruk kepada negara.

Dengan pelbagai ketidaktentuan, khasnya rakan dagangan utama China yang menampakkan ekonomi yang perlahan dan akibat dasar Amerika Syarikat untuk menamatkan dasar “Quantitative Easing’ dan juga kesan di Timur Tengah dan Ukraine-Rusia atas harga minyak mentah, maka mengharapkan pertumbuhan dipacu oleh permintaan global adalah satu yang tidak menasabah dan meleset.

Ia pastinya akan mengurangkan lagi ‘lebihan akaun semasa’ negara yang telah pun mengalami penguncupan. Dapatan mutakhir oleh Malaysian Institute of Economic Research atau MIER telah mempamerkan isyarat yang jelas.

Dua indeks utama yakni: 1) Business Conditions Index dan 2) Consumer Sentiment Index telah mula menunjukkan penurunan dalam bulan Julai-Ogos lalu.

Pacu pemintaan domestik

Dengan senario seperti ini, Najib wajar segera mempastikan bahawa pacuan pertumbuhan akan diteruskan dengan permintaan domestik. Pacuan pertumbuhan dua suku pertama dalam tahun 2014 ini dibantu oleh permintaan domestik yang kukuh.

Najib perlu meningkatkan permintaan domestik ketika permintaan global sudah jelas menampakkan kelembapan atau ‘slowing-down’.

Malangnya, dengan tindakan yang dibuat Najib dan pentadbirannya, untuk teruskan perlaksanaan GST, Najib pasti mengurangkan ‘kuasa membeli’ atau ‘permintaan domestik’.

Menambah lagi himpitan adalah harga komoditi minyak sawit dan getah yang terus menjunam ke paras harga paling rendah dalam lima tahun. Ini adalah disebabkan lebihan bekalan dan pengurangan permintaan. Kedudukan ini menjejaskan warga luar bandar serta kuasa membeli mereka.

Tambahan lagi, dalam senario ekonomi global yang serba kelam dan sugul, kenaikan RM0.20 harga bahan bakar pada 2 Oktober lalu, sebelum dari pembentangan Belanjawaan 2015, adalah sangat 'tidak sopan' bahkan 'sangat culas'.

Najib sengaja lupa bahawa kenaikan RM0.20 pada September 2013 dahulu telah mencetuskan kenaikan Indeks Harga Pengguna (CPI) sepanjang tahun dan ke paras tertinggi 3.2% pada Julai 2014 lalu. CPI hanya turun pada September 2014 yang lalu pada CPI 2.6%.

Untuk ingatan semua, ketika mantan Tun Abdulllah Badawi menaikkan harga petrol sebanyak RM0.78 (kepada RM2.70) dan diesel sebanyak RM1 (kepada RM2.58) pada Jun 2008, beliau berani meramalkan bahawa inflasi hanya akan naik paling tinggi ke paras 4 peratusc ke 5 peratus.

Malang buat beliau, sekaligus menyebabkan beliau tersingkir, inflasi melonjak ke paras 8.5%! Umum mungkin tidak lupa agaknya beliau secara bersahaja menjawab pihak media, bahawa rakyat tidak agak bangkit ke jalan raya berdemonstrasi.

Justeru, apakah yang boleh diramalkan kali ini kerana kenaikan harga bahan bakar dibuat dibuat bersekali dengan penguatkuasaan GST pada kadar 6 peratus.

'Jatuh timpa tangga'

Seolah-olah tidak cukup mendera rakyat, Najib akan meneruskan program ‘rasionalisasi subsidi’nya meskipun rakyat sudah ‘jatuh ditimpa tangga’.

Berapa peratuskah ‘inflasi’ yang bakal tercetus dan apakah angka CPI dalam tahun 2015 nanti? Hanya Allah yang tahu...

Ketika itu pastinya Najib akan dilihat ‘tidak rasional’. Seandainya Najib teruskan juga maka jelasnya beliau sudah sangat 'desperate' dan tidak lagi mampu berfikir secara waras. Kehilangan ‘kewarasan’ adalah kehilangan kelayakan memimpin.

Sebaliknya Pakatan Rakyat dan Ku Li mencadangkan supaya pentadbiran Najib melipatgandakan usaha dan komitmen untuk menutup lubang-lubang rasuah dan penyelewangan sebagai menjana penambahan hasil. Saban tahun Laporan Ketua Audit Negara memaparkan sumber-sumber hasil yang tiris dan bocor.

Perhitungan Pakatan Rakyat buat Bajet 2015 ini, menganggarkan peruntukan bekalan yang tertakluk kepada pelbagai perolehan, kenaan/bayaran, perjanjian penswastaan dan sebagianya adalah sebanyak RM124 bilion.

Seandainya 10 peratus dapat dijimatkan melalu tadbir urus yang telus dan cara tender terbuka, maka RM12.4 bilion dapat dijana dan diselamatkan.

Atas hujah kenaikan harga barang dan pertumbuhan yang bakal ‘menurun’ atau ‘slowing down growth’, maka sangat patut untuk Najib menangguhkan perlaksanaan GST sehingga datang satu waktu yang lebih wajar. Bila?

Ketika itu adalah bila pendapatan rakyat lebih baik dan menasabah dan lubang-lubang ketirisan telah dapat ditutup dan sumber dari hasil yang lain (CGT dsbnya) juga akan bertambah.

Keberkatan akan dapat dinikmati dan kesejahteraan dikecapi serta kemakmuran rakyat terserlah sekaligus rakyat hidup dengan lebih bermaruah.


(*)  DR DZULKEFLY AHMAD pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan PAS.

Tiada ulasan: