PRK Pengkalan Kubor
 
 
 
KUALA KRAI - Pas Kawasan Kuala Krai yakin parti itu mampu memenangi PRK Pengkalan Kubor walaupun sebelum ini, kerusi Dun itu dimenangi penyandang, Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar pada tiga pilihan raya berturut-turut.

Adun Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, berdasarkan pengalaman lalu, Pas pernah memenangi kerusi Dun Pengkalan Kubor pada 1999 dan ketika itu calonnya adalah Allahyarham Wan Husain Wan Ahmad.

Menurutnya, calon diletakkan Pas untuk bertanding di PRK Pengkalan Kubor adalah calon yang difikirkan layak dan antara terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Saya lihat Pas mampu memenangi kerusi berkenaan memandangkan kerusi Parlimen Tumpat juga turut dimenangi Pas menerusi Datuk Kamaruddin Jaafar pada PRU13.

"Saya harap pengundi akan pilih calon Pas dan saya yakin calon berkenaan boleh diterima oleh rakyat," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Tambahnya, dengan bantuan jentera parti termasuk dari Kuala Krai yang telah turun sejak awal lagi, peluang Pas memenangi PRK Pengkalan Kubor dilihat cerah.

Beliau berharap pengundi akan memberi peluang kepada calon Pas dan beliau sendiri akan turun ke Dun berkenaan untuk berkempen bersama jentera parti.

Sebelum 1999, Pas juga pernah memenangi kerusi berkenaan pada PRU 1978 manakala pada PRU13 parti itu memenangi kerusi Parlimen Tumpat, Dun Kelaboran dan Wakaf Bharu.