Idris Jusoh
 
 
 
PUTRAJAYA - Senarai anggota jawatankuasa bebas untuk menambah baik Prosedur Operasi Standard (SOP) penyediaan kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan diumum Rabu ini.

Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat khas hampir tiga jam yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kementerian Pendidikan hari ini.

"Ia akan dianggotai sembilan anggota jawatankuasa dan (bilangannya) mungkin berubah. Jawatankuasa khas tersebut akan memberi input penambahbaikan SOP yang perlu dilakukan.

"Nama-Nama itu akan diumumkan, (termasuk) siapa yang akan menjadi pengerusi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat khas itu.

Menyentuh isu yang dibincang dalam mesyuarat khas itu, Idris berkata antaranya ialah kaedah memperhalusi SOP baharu dan perkara yang perlu dilaksana oleh Kementerian Pendidikan.
Beliau turut menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan berhubung kes kebocoran kertas soalan UPSR.

"Siasatan sedang berjalan. Kita serah kepada polis untuk menentukan siapakah yang bertanggungjawab. Timbalan Perdana Menteri amat dukacita mengenai insiden ini dan sekali lagi memohon maaf kepada ibu bapa dan guru-guru yang terlibat kerana menyebabkan banyak program tergendala. Kita berharap perkara ini tidak berlaku lagi," katanya. - Bernama