Khamis, 11 September 2014

Polis kenal pasti suspek utama tikam pelajar UiTM

BERNAMA 


MELAKA: Pihak polis telah mengenal pasti suspek utama berhubung kes pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Alor Gajah yang ditikam dalam rompakan di Pangsapuri Dimensi, Lendu semalam.
  
Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, DSP Abd Rahman Jid berkata suspek yang dipercayai bekerja sebagai penarik kereta berusia 30-an dan berasal dari Melaka sedang dikesan.
  
"Lelaki tersebut melarikan diri dengan sebuah kereta selepas kejadian dan polis percaya suspek masih berada di negeri ini," katanya kepada Bernama.
  
Dalam pada itu, beliau berkata dua lelaki berusia 16 dan 20 tahun dipercayai rakan suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
  
Dalam kejadian 5.30 pagi itu, Siti Irina Ridzwan, 20, pelajar jurusan Diploma Komunikasi Massa ditikam kerana dikatakan menjerit dan cuba melawan suspek ketika rompakan tersebut.
  
Mangsa yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan dilapor ditikam sebanyak enam kali di dada dan tangannya dengan pisau. - Bernama

Tiada ulasan: