Rabu, 17 September 2014

PKR Dakwa Bilik Gerakan Diganggu SPR


Oleh: IZRA ABDUL RAHMAN 
 
 




PENGKALAN KUBOR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor mendakwa bilik gerakannya telah diganggu oleh pemantau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mahukan parti itu menurunkan lambang yang digantung.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kelantan Ab Aziz Kadir berkata, beberapa petugas SPR telah hadir ke bilik gerakan mereka dan meminta supaya 'banner' yang mempunyai lambang PKR diturunkan.

"Sudah tiga kali mereka (SPR) hadir di bilik gerakan kita di Telaga Lanas minta kita turunkan 'banner'.

"Mereka kata kerana lambang PKR bukan mewakili parti bertanding," katanya pada sidang media harian Pakatan Rakyat di Markas Besar PAS di sini, Selasa.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah; Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelaboran Mohd Zaki Ibrahim.

Mengulas lanjut, beliau berkata, anggota PKR yang bertugas bagaimanapun tidak menurunkan 'banner' parti berkenaan kerana menganggap ia tidak menyalahi undang-undang.

"Itu bangunan persendirian, pejabat kita yang kita sewa sebab itu kita tak turunkannya.

"Mereka (SPR) kata kita gantung banner itu mengelirukan pengundi," katanya.

Katanya, tiada bendera atau banner parti yang digantung di luar bangunan tersebut.

Mengenai teguran SPR, beliau berkata ia dibuat secara baik dan pihaknya telah meminta supaya satu surat rasmi dikeluarkan berhubung perkara ini.

"Kita minta dia (Petugas SPR) hantar notis supaya ada 'hitam putih', bukan (teguran) secara lisan," katanya.

Beliau menambah, jika surat daripada SPR diterima, ia akan dirujuk kepada peguam untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu Takiyuddin berkata, dalam hal ini tidak sepatutnya berlaku 'double-standard' dari segi penguatkuasaan.

"Di jalan besar di Kota Bharu ada bendera MCA tetapi tak diturunkan, kalau nak dikuatkuasakan, biarlah kepada semua semua parti...atau kalau nak benarkan, benarkan kepada semualah," katanya.

Beliau berkata rakyat Malaysia tidak menganggap PAS, PKR dan DAP sebagai parti berasingan dan masalah pendaftaran Pakatan Rakyat dengan Pendaftar Pertubuhan hanyalah masalah dari segi teknikal.

Tiada ulasan: