Roketkini.com
PETALING JAYA: Semua rakyat sepatutnya dilayan
sama rata sebagai warganegara dan bukannya dihumban ke penjara, kata
Penaung Negara-Ku Datuk Ambiga Sreenevasan.
“Apa yang kita semua mahukan adalah sebuah kerajaan yang dapat menjaga warganya.
“Bukan
kerajaan yang meletakkan rakyat di penjara hanya kerana menyatakan
pendapat,” katanya ketika menyampaikan ucapan ringkas dalam program
Perkelahan Rakyat di Taman Jaya, hari ini.
Beliau berkata demikian merujuk kepada tindakan kerajaan BN
yang mendakwa beberapa pemimpin pembangkang, aktivis dan ustaz di bawah
Akta Hasutan 1948 kerana mengkritik pentadbiran huru-hara mereka.
Mantan Presiden Majlis Peguam Negara itu menyatakan
kekesalannya dengan sikap pemerintah yang bukan sahaja membawa imej
buruk kepada negara tetapi turut memadamkan segala kenangan indah
warganya di Malaysia.
“Kehadiran anda di sini adalah bukti bahawa kita semua mahu
hidup bersama. Setiap ibu-bapa mahukan perkara yang sama terhadap
anak-anak mereka iaitu masa depan cerah dalam sebuah negara yang aman
dan harmoni,” ujarnya.
Sementara itu, pengerusi Jawatankuasa Pemandu Negara-Ku
Zaid Kamaruddin pula menegaskan, kehadiran masyarakat dari semua lapisan
masyarakat dalam ‘perkelahan rakyat’ adalah bukti bahawa warga Malaysia
boleh bersama.
“Kita
perlu mengambil apa jua langkah untuk memulihkan hubungan antara satu
sama lain dan hari ini (Hari Malaysia) adalah saatnya berbuat demikian.
“Kita juga perlu menolak apa saja tindakan yang memberi kesan kepada semangat perpaduan,” ujarnya.
Hadir sama pada program ‘Perkelahan Rakyat’ anjuran Negara-ku ialah Sasterawan Negara, datuk A Samad Said.
Lebih 100 peserta yang terdiri dari pelbagai kaum dan peringkat umur menghadiri Perkelahan Rakyat pagi tadi.
Antaranya adalah Pensyarah Undang-Undang Dr Azmi Sharom,
aktivis masyarakat Haris Ibrahim, Pengarah Eksekutif Pusat Kewartawanan
Bebas (CIJ) Masjaliza Hamzah, para peguam, aktivis masyarakat dan
penduduk setempat.
Menurut Negara-ku, Perkelahan Rakyat sempena Hari Malaysia
ini diadakan dengan tujuan untuk menyebar mesej perpaduan dan menyatukan
masyarakat.
Seawal jam 8 pagi lagi ada diantara mereka telah hadir
bersama kenalan, keluarga dan jiran tetangga dengan membentang tikar,
menghidangkan pelabagai makanan kegemaran rakyat Malaysia antaranya nasi
lemak, kuih muih.
Program sanrtai ini diakhiri dengan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku dan lagu Melayu tradisional Rasa Sayang. -Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan