Rabu, 10 September 2014

Pemantau: Gugur tindakan pada wartawan

MALAYSIAKINI



 


Pemantau media antarabangsa Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) menggesa kerajaan menghentikan tindakan terhadap wartawan Malaysiakini Susan Loone yang ditahan bawah Akta Hasutan 1948 sebelum ini.

Ketua RSF Meja Asia Pasifik Benjamin Ismaïl berkata, Loone (bawah) tidak sepatutnya dihukum kerana melaporkan apa yang dikatakan padanya dalam wawancara.

“Wartawan yang mewawancara seseorang untuk tujuan laporan tidak boleh dipertanggungjawabkan atas apa yang pihak diwawancara itu katakan.

“Wartawan Malaysia akan terus terdedah kepada tindak balas politik selagi Akta Hasutan yang menindas dan usang ini tidak dimansuhkan,” katanya dalam kenyataan.

Pemantau berpangkalan di Paris itu juga berkata, tindakan terhadap Loone “tidak berasas sama sekali dan mencabul kebebasannya untuk menyampaikan sesuatu kepada orang lain”.

Loone sebelum ini ditahan dan disoal siasat kira-kira sembilan jam kerana laporan beritanya yang memetik ulasan exco Pulau Pinang Phee Boon Poh.

Phee, yang juga pengerusi Pasukan Peronda Sukarela (PPS), sebelum itu turut ditahan bawah akta sama susulan kontrovesi seputar unit itu.

Tiada ulasan: