Isnin, 8 September 2014

PAS S'gor: Tentang raja takkan ke mana-mana

MALAYSIAKINI


 


PAS Selangor menzahirkan rasa sedih atas kemurkaan sultan terhadap DAP dan PKR kerana hanya menghantar satu nama untuk dipertimbang sebagai menteri besar baru.

PAS negeri juga mengingatkan kedua-dua parti yang bergabung dengannya dalam Pakatan Rakyat itu supaya akur pada titah sultan Selangor bagi menyelesaikan kemelut pentadbiran yang melanda.

"PAS Selangor mohon rakan-rakan kita agar akur kepada titah Tuanku Sultan kerana kita tidak akan ke mana-mana apabila menentang institusi raja ini,” kata Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman (kanan).

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani hari ini berkata, sultan dukacita atas tindakan DAP dan PKR yang “engkar” terhadap titah yang mahu lebih dua nama calon menteri besar dikemukakan.

Kenyataan itu juga menyebut, tindakan itu menggambarkan kebiadaban kepada institusi raja dan derhaka kepada titah sultan.

Dalam kenyataannya hari ini, Khairuddin berharap kemelut itu dapat diselesaikan segera kerana lebih lama melanda, lebih menyusahkan rakyat.

"Cukuplah, mari kita fikir pula masalah kebajikan rakyat yang sudah lama tergendala,” katanya.

Khairuddin juga menegaskan PAS akan patuh kepada sebarang titah sultan demi kebaikan rakyat di negeri itu.

Tiada ulasan: