Selasa, 2 September 2014

Isu PPS: KPN seolah hina perutusan Merdeka Najib, malukan negara

lks (3)

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Tindakan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan penangkapan beramai-ramai anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) seolah-olah menghina perutusan Merdeka Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, ketika Najib menyeru ke arah perpaduan, keyakinan dan kesejahteraan, tangkapan anggota PPS mengubah segala-galanya.

“Malangnya, seruan Najib dihancurkan apabila pegawai polis nombor satu mengarahkan penangkapan besar-besaran anggota PPS selepas menyertai Perarakan Merdeka di Pulau Pinang.

“Hari yang sepatutnya menjadi inspirasi dan peneguhan kembali 30 juta rakyat Malaysia untuk mencerna seruan Merdeka bertukar menjadi hari penuh hina, menyebabkan seluruh rakyat tertanya-tanya apa yang tak kena dengan pembinaan negara selepas lebih separuh abad merdeka,” katanya dalam satu kenyataan.

Kit Siang menyifatkan, insiden itu kini menjadi satu titik hitam dalam sejarah negara.

“Ada sesuatu yang tidak kena dengan negara kita apabila orang-orang yang ikhlas dan sentiasa bersedia menyumbang masa, tenaga dan khidmat untuk membantu golongan kurang bernasib baik dilayan seperti penjenayah.

“Apa yang terjadi di Pulau Pinang tidak akan membawa sebarang kebaikan buat Malaysia atau Najib sebagai Perdana Menteri dan dunia akan mengecam perbuatan ini.

“Berdiam diri, sikap acuh tak acuh atau tiada tindakan dari Najib berhubung apa yang berlaku juga merosakkan reputasi negara di mata masyarakat dunia. – Roketkini.com

Tiada ulasan: