Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali menegaskan, beliau tidak akan menyahut cabaran Pemuda Gerakan untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubor, Kelantan.
Ini kerana, tegasnya, tindakan itu akan menyebabkan undi BN berpecah dan menyebabkan parti itu kalah sekiranya beliau bertanding.
"Tunggulah pada pilihan raya umum yang ke-14, kami akan beritahu orang Melayu untuk tidak mengundi Gerakan.
“Lelaki yang hebat seperti presiden PERKASA mempunyai otak untuk berfikir dan cabaran daripada Pemuda Gerakan tidak memberikan kesan kepada saya," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Selain itu, Ibrahim juga berkata, Gerakan sebenarnya parti yang 'kalah' apabila hanya memenangi 200 undi majoriti pada Parlimen Teluk Intan.
Malah, Ibrahim turut memberi amaran akan meminta pengundi Melayu agar tidak mengundi Gerakan pada pilihan raya umum akan datang.
"Gerakan memenangi kerusi Teluk Intan dengan 200 majoriti, ia bukan sesuatu yang bagus. Malah, PERKASA yang membantu untuk mendapatkan undi Melayu. Kita buat bukan disebabkan Gerakan, tetapi disebabkan perdana menteri dan timbalan perdana menteri.
"Tunggu sehingga pilihan raya umum ke-14, kita akan minta orang Melayu supaya tidak undi Gerakan," katanya.
Pemuda Gerakan: PERKASA tak relevan
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pemuda Gerakan William Chang Yoong Hsi yang mencabar Ibrahim supaya bertanding pada PRK Pengkalan Kubor.
Menurut William, pada pilihan raya umum yang lalu, Ibrahim gagal mempertahankan kerusinya di Parlimen Pasir Mas yang mempunyai hampir 96 peratus pengundi Melayu.
Berbeza dengan Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong yang memenangi pilihan raya kecil Teluk Intan, William turut berpendapat, PERKASA kini sudah tidak relevan lagi di negara ini.
"Pada pilihan raya umum ke-13 lalu, Ibrahim tidak dapat mempertahankan kerusinya di Pasir Mas yang mana 96 peratus merupakan pengundi Melayu.
“Jadi, bagaimana dia boleh kata Melayu menyokong PERKASA?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan