Ahmad Jauhari Yahya. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM Ahmad Jauhari Yahya. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
 
 
 
SHAH ALAM - Khabar angin yang mengatakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Celcom Axiata Bhd, Datuk Seri Shazalli Ramly akan menerajui MAS ternyata tidak benar apabila beliau menafikan perkara itu.

Berita yang mengatakan beliau akan menggantikan CEO MAS, Ahmad Jauhari Yahya adalah tidak benar, lapor sebuah portal.

Menurut Shazalli, beliau akan kekal berada di Celcom untuk lima tahun akan datang bagi mengukuhkan syarikat berkenaan.

Sebelum ini, nama Shazalli disebut-sebut sebagai calon CEO yang berpotensi untuk menerajui syarikat penerbangan yang sedang menghadapi masalah itu.

Selain Shazalli,  Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala dan Ketua Axiata Group milik Khazanah, Datuk Seri Jamaludin Ibrahim turut dikatakan akan menjadi calon menduduki jawatan penting itu.

Namun, Idris sebelum ini telah menafikan akan menjawat jawatan tersebut.

Khazanah juga kini sedang meninjau calon-calon berpotensi dari industri penerbangan global dan juga tempatan untuk menjadi CEO baharu MAS.

Ahmad Jauhari, yang kontrak tiga tahunnya dijadual tamat bulan depan, akan terus menerajui entiti sedia ada MAS sehingga 1 Julai 2015 bagi melicinkan peralihan daripada entiti lama kepada entiti baharu MAS yang disusun semula.