Rabu, 4 Jun 2014

Penyingkiran Nizar usah disentuh

Oleh Subky Latif


ADALAH wajar segala kebaikan Almarhum Sultan Azlan Shah disebut apabila menyentuh balasingkawa kemangkatan baginda. Dalam memperingati Almarhum pastikan yang baik itu disepakat oleh semua.
   
Yang tidak  disepakati seperti penyingkiran Datuk Seri Nizar Jamaluddin elok tidak disentuh. Apabila ia disentuh, ia mengundang komen pihak yang mengira penyikiran itu tidak tepat dalam menyelesaikan krisis rampasan kuasa di Perak terhadap kerajaan Pakatan Rakyat oleh Barisan Nasional.

Beberapa ulasan mengkagumi baginda dalam isu itu termasuk oleh pakar/profesor undang-undang. Rakyat jelata bangga beroleh seorang Sultan, satu-satunya di dunia, pernah menjadi Ketua Hakim Negara dan banyak penghakiman baginda dihormati.
    
Tetapi Almarhum adalah manusia yang ada kekurangannya. Sebagai seorang hakim tertinggi pandangannya tentang undang-undang diberi perhatian oleh semua, tetapi tidaklah setiap keputusan diakui semata-mata kerana ia dibuat oleh seorang hakim yang berprestij. Pengiktirafan tentang penghakiman bergantung kepada ketepatannya, bukan kerana kedudukan sebagai bekas Ketua Hakim Negara.
   
Nabi Daud AS adalah raja dan hakim yang adil tetapi ada penghakimannya yang dikira adil tetapi boleh dibaiki lagi.
   
Kes seorang peladang mengadu tanamannya habis dimusnahkan binatang ternakan seorang gembala. Gembala mengaku ternakannya memusnahkan kebun pengadu. Keputusan baginda ialah binatang ternakan diserahkan kepada peladang sebagai ganti rugi. Kira-kira ia satu keputusan yang adil.
   
Tetapi Nabi Sulaiman AS, putera Nabi Daud mengira keputusan itu tidak tepat. Lalu dianjurnya supaya di samping ternakan itu diserahkan kepada peladang dan hak atas hasilnya, maka ladang pekebun itu diserahkan pula kepada penternak untuk dimajukan. Apabila ladang itu mengeluarkan hasil semula, kebun itu diserah semua kepada tuannya dan semua ternakan dipulangkan balik kepada penternak.
   
Jika Nabi pernah membuat keputusan kurang tetap tentulah manusia biasa, sepintar mana pun, boleh membuat kesilapan.
   
Dalam kes penyingkiran Nizar, kita tidak boleh berpegang kepada peruntukan perlembagaan dan undang-undang saja. Faktor keadilan dan suasana yang berlaku perlu diambil kira. Jika undang-undang Allah yang sempurna seperti hudud Rasulullah SAW tidak laksanakan hukum atas pengakuan seorang wanita yang berzina atas sebab keselamatan masa depan anak yang dikandungnya, dan Khalifah Umar al-Khatab tidak potong tangan jiran miskin yang mencuri makan dari jiranannya kerana kelaparan, maka undang-undang ciptaan manusia juga ada ruang pengecualian.
   
Dalam kes Pakatan Rakyat Perak hilang majoriti disebabkan oleh empat ADUN hilang serentak beberapa ketika dan apabila muncul mengaku tidak lagi menyokong kerajaan Nizar. Dari sudut perlembagaan memang Pakatan sudah hilang majoriti, tidak layak lagi meneruskan pemerintahan. Tetapi dari segi peraturan juga Menteri Besar juga tidak boleh dipecat oleh sesiapa termasuk Raja  yang melantiknya dulu.
   
Bagaimana tiga ADUN Pakatan boleh hilang serentak? Apakah perundangan tidak wajib menyiasat kejadian itu? Ikut hilang serentak ialah ADUN BN Bota yang secara sukarela jadi ADUN Pakatan, kembali ke pangukuan BN selepas hilang. Apakah tiada ruang dari sudut keadilan orang-orang diminta memberi  keterangan/kesaksian mengapa mereka derhaka?
    
Dengan berpegang kepada perlembagaan saja, apakah hakim telah melaksanakan keadilan? Atau dengan berpegang pada perlembagaan, tidak mungkin keadilan diabaikan? Kebijaksanaan juga penting dalam menegakkan keadilan. Nabi kecualikan hukum atas penzina dan Saidina Umar RA tidak tidak potong tangan pencuri atas sebab kebijaksanaan.
   
Raja berperlembagaan boleh tidak mendengar nasihat PM/MB, tetapi ia diangap ganjil. Tidak ganjilkah Nizar dipecat tanpa peruntukan yang jelas dan tidak ganjilkah nasihat Nizar agar DUN dibubarkan diketepikan? Ternyata aspek keadilan dan kebijaksanaan tidak diperhatikan dalam kejadian di Perak itu.
   
Bagi yang hidup menyebut hal yang tidak disepakati dan tidak jelas tentang Almarhum ternyata tidak bijaksana .H/daily

1 ulasan:

amin berkata...

Yang berkuasa didunia pada masa tu pun dah tiada dan sedang berhadapan dgn Tuhan yg maha esa renong lah siapa diri kita yg hidup ini.