MALAYSIAKINI
Penjelasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa tidak ada
sebarang pengguguran membabitkan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin
melegakan masyarakat Pagoh khususnya ahli Umno bahagian berkenaan.
Timbalan Ketua Umno bahagian Pagoh Ismail Mohamed berkata penjelasan itu
sekaligus membuktikan laporan disebarkan laman blog dan media sosial
berhubung pengguguran jawatan berkenaan sebagai satu cubaan untuk
meretakkan hubungan baik kedua-kedua pemimpin negara.
"Datuk Seri Najib sendiri menjelaskan tidak ada langsung timbul mengapa
timbalan perdana menteri perlu digugurkan. Ini jelas menunjukkan ia
adalah usaha pembangkang yang mahu memecahkan gandingan baik antara
kedua-dua pemimpin negara," katanya semasa berucap pada majlis
penerangan mengenai pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di
Muar hari ini.
Ismail yang juga pengerusi jawatankuasa pertanian dan industri asas tani
Johor bersyukur kerana masyarakat di kawasan Parlimen Pagoh tidak
melatah apabila menerima khabar-khabar angin yang menyentuh pemimpin
mereka sejak beberapa minggu lepas.
Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan masyarakat kawasan berkenaan
supaya tidak mudah mempercayai laporan yang belum tentu mempunyai
kebenarannya.
Sebelum ini, laman blog dan media sosial melaporkan kemungkinan
Muhyiddin berundur bagi memberi perhatian kepada usaha memulihkan Umno.
Ia juga timbul berikutan desas-desus rombakan Kabinet yang mungkin
dilakukan Perdana Menteri khususnya untuk membawa masuk pemimpin
daripada parti komponen BN iaitu MCA dan Gerakan.
Bagaimanapun, Muhyiddin berkata beliau akan terus berkhidmat sebagai
timbalan perdana menteri selagi khidmatnya diperlukan dan memberitahu
setakat ini tidak ada apa-apa perkara dibangkitkan berhubung
kedudukannya itu.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan