Ahad, 15 Jun 2014

KPN gagal laksana perintah Mahkamah, DAP buat laporan polis seluruh negara

Indra Ghandi

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: DAP akan melancarkan siri laporan polis di seluruh negara ke atas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar ekoran kegagalan besar beliau untuk mematuhi dan menguatkuasakan perintah mahkamah sivil berhubung kes hak penjagaan anak bekas pasangan berbeza agama.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung Lim Guan Eng memaklumkan bahawa mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP (CEC) semalam telah bersetuju mengarahkan semua Jawatankuasa Pemuda dan Wanita Negeri untuk membuat laporan polis ke atas Khalid.

Template laporan akan dirangka Ketua Biro Undang-undang Gobind Singh Deo dan Naib Pengerusi M Kulasegaran. Kula juga adalah peguam kepada M Indira Ghandi yang telah berjaya mendapatkan perintah Mahkamah Tinggi Ipoh yang menyerahkan hak penjagaan kepadanya.

“Keengganan KPN untuk mematuhi perintah itu adalah pelanggaran tugas secara jelas. Beliau lupa tugas polis di bawah Seksyen 20 Akta Polis 1967 yang menyatakan tanggungjawab untuk melaksanakan apa-apa arahan daripada saman, sapina dan waran yang dikeluarkan mahkamah,” katanya lagi.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut memaklumkan, Gobind sendiri akan memulakan siri laporan polis itu esok di Kuala Lumpur.

Khalid sebelum ini dilaporkan berkata, polis kononnya akan bersikap neutral dan tidak akan mengambil sebarang tindakan daripada keputusan bercanggah Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah, namun sebaliknya akan menempatkan anak-anak mereka di pusat kebajikan.

Pada 29 Oktober 2009, Mahkamah Syariah menyerahkan hak penjagaan tiga anak Indira – Tevi Darsiny, Karan Dinesh dan Prasana Diksa – kepada Mohd Ridzuan. Namun pada Mac 11 2010, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wan Afrah Wan Ibrahim mengarahkan hak penjagaan diberikan kepada Indira.

Pada 1 April 2011, Mahkamah Tinggi juga menolak permohonan Mohd Ridzuan untuk menangguhkan perintah hak penjagaan anak bongsunya yang dibuat tahun sebelumnya.

Bagi kes kedua, Mahkamah Rayuan pada 27 Mei lalu menolak permohonan Izwan Abdullah dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang menyerahkan hak penjagaan dua anak kepada ibunya, S Deepa.

Mahkamah Syariah sebelum itu menyerahkan hak penjagaan kepada Izwan.-Roketkini.com

Tiada ulasan: