Lim Guan Eng  
Lim Guan Eng


KUALA LUMPUR - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim disaran mengambil tindakan terhadap keengganan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memulangkan kitab Bible yang dirampas daripada Persatuan Bible Malaysia (BSM) pada Januari lalu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan penolakan Mais terhadap keputusan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pada Rabu lalu tidak berasas dan tidak patut berlaku.

"Saya sendiri tidak faham (tindakan Mais) kenapa perkara macam ini berlaku sedangkan rampasan di Pulau Pinang sudah pun dipulangkan.

"Mais tiada asas untuk tidak memulangkan (kitab Bible) dan keputusan peguam negara harus dilayan secara adil dan MB Selangor kena bertindak," katanya kepada pemberita pada Persidangan Pucuk Pimpinan Kebangsaan DAP 2014, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Dalam mesyuarat Mais semalam, badan itu memutuskan untuk tidak memulangkan kitab Bible yang dirampasnya daripada BSM pada awal tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, hasil mesyuarat itu juga tidak bersetuju dengan keputusan peguam negara untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap persatuan terbabit.

Jelasnya keputusan peguam negara itu boleh mengelirukan akidah di kalangan umat Islam.