Jumaat, 13 Jun 2014

Dyana hargai semangat Muslimat PAS bantu kempen

SALMAH MAT HUSAIN 



 


KOTA BHARU:  Bekas calon DAP pilihan raya kecil (PRK) Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud  mengucapkan terima kasih kepada aktivis Muslimat PAS seluruh negara kerana telah membantu kempen pilihan raya beliau.

Menurut Dyana, Muslimat PAS dan Wanita PKR  khususnya dari Kelantan telah bersungguh-sungguh berkempen untuk membantu beliau yang mewakili Pakatan Rakyat.

Berucap pada majlis ramah mesra bersama Muslimat PAS Kelantan, Rabu lalu, Dyana berkata  walaupun tewas di Teluk Intan, usaha bersungguh-sungguh yang ditunjukkan Muslimat PAS dan wanita Pakatan Rakyat membuatkan beliau begitu terharu.

"Semangat kesepakatan dalam Pakatan Rakyat yang ditunjukkan Muslimat PAS membuatkan saya kuat.

"Kesepakatan kita ketika berkempen baru-baru ini membuktikan perpaduan kita dalam Pakatan Rakyat benar-benar utuh," ujarnya.

Turut hadir pada majlis itu anggota Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Mumtaz Md Nawi, Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim dan para pemimpin Muslimat PAS negeri.

Tiada ulasan: