Rabu, 4 Jun 2014

Buruh cedera ditetak, dituduh hilangkan kunci

MALAYSIAKINI


Seorang buruh cedera setelah ditetak dan dipukul dengan sebatang besi di hadapan rumahnya oleh sekumpulan empat lelaki tidak dikenali di Kampung Tok Saboh, dekat Besut, awal pagi semalam.
  
Dalam kejadian pada kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa berusia 20 tahun itu yang mengalami kecederaan di betis kiri dan kepala, dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kuala Besut oleh anggota keluarganya.
  
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut DSP Noorzainy Mohd Noor berkata sebelum kejadian mangsa telah didatangi seorang rakannya bagi menanyakan kehilangan kunci kereta jenis BMW.
  
Katanya, setelah kira-kira sejam berborak dan rakannya itu pulang, tiba-tiba muncul empat lelaki yang tidak dikenali dari kawasan semak.
  
"Seorang daripada mereka bertindak menetak betis mangsa menggunakan golok manakala seorang lagi memukul kepala mangsa menggunakan sebatang besi hingga menyebabkan mangsa pengsan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
Menurut Noorzainy siasatan awal mendapati serangan dilakukan kerana mangsa didakwa mengambil kunci kereta berkenaan dan gerakan memburu keempat-empat suspek sedang dilakukan. - Bernama

Tiada ulasan: