Selasa, 10 Jun 2014

Apa Pakatan perlu belajar daripada BN




Oleh Timmy Say


Selepas DAP tewas mengejut di Teluk Intan, keretakan di antara parti-parti komponen Pakatan Rakyat menjadi semakin ketara.

Kekalahan di Teluk Intan yang sepatutnya menjadi rahmat untuk memperingatkan DAP, PAS dan PKR pentingnya untuk terus bekerjasama bagi bersama melawan Barisan Nasional (BN) bertukar membawa bala apabila ia menjadi medan saling menuding jari antara satu sama lain.

Bagi PKR, pemilihan partinya sudah cukup  memalukan. Maka tidak perlu parti kawan menyapu garam atas luka dengan menyalahkan perkara tersebut sebagai punca kekalahan di Teluk Intan.


Bagi PAS, hudud adalah undang-undang Tuhan yang dekat dengan hati pengikutnya. Tidak bijaklah kalau ada parti kawan yang menyalahkan niatnya untuk melaksanakan undang-undang Tuhan itu sebagai punca kekalahan di Teluk Intan.

Bagi DAP, kekalahan di kerusi yang majoritinya pengundi Cina sesuatu yang sukar ditelan kerana ia melanggar persepsi kaum Cina berada di pihak mereka. Oleh itu, tidak perlu mengguris hati DAP dengan berkata mereka tewas di Teluk Intan kerana mereka kehilangan sokongan Cina, sesuatu persepsi politik yang boleh membuai mimpi ngeri kepada mereka.

Jika hendak berbicara mengenai kesilapan, ketiga-tiga parti ada membuat kesilapan – daripada masalah terlalu yakin kepada tidak berkempen bersungguh-sungguh. Tapi sekiranya ketiga-tiga parti ikhlas bertahaluf, mengapa perlu menyalahkan antara satu sama lain atas kekalahan di Teluk Intan?

Masalah terbesar DAP, PAS dan PKR ialah mereka bersahabat, tetapi pada masa sama, mereka bertarung antara satu sama lain untuk muncul lebih maju di depan berbanding sahabat lain. Selain itu, mereka juga bekerja untuk meningkatkan jumlah undi mengikut kaum secara berasingan, dan bukan secara bersama.

Ini punca utama mengapa pemimpin Pakatan Rakyat suka membuat kenyataan media memperbesarkan isu antara tiga parti semata-mata untuk menjadi undi kelompok masing-masing. Kerana itu juga,  mereka suka membalas kenyataan sesama sendiri melalui media tanpa kisah tindakan mereka akan memperkuatkan persepsi rumahtangga di Pakatan Rakyat ini tidak stabil, sebagaimana yang dipropagandakan oleh BN di media perdana.

Persoalannya, susah sangatkah bagi para pemimpin Pakatan Rakyat untuk menelefon, menghantar email, SMS mahupun whatsapp antara satu sama lain apabila timbul perbezaan pendapat atau sebelum membuat kenyataan mengenai isu sensitif?

Dalam isu kontroversi seperti perkahwinan Hindu seorang wanita bernama Melayu, kes penjagaan anak mualaf, Kidex dan isu Bible Melayu, sepatutnya ketiga-tiga parti perlu berbincang dahulu sebelum mengambil pendirian rasmi.

Ini tidak. Ketiga-tiga parti seolah-olah mempunyai pendirian dan pandangan berbeza – semua jawapan bukan atas kepentingan Pakatan Rakyat, tetapi untuk menjaga kelompok undi parti masing-masing.

Bukan itu sahaja, kebanyakan masa, ada yang suka jump the gun dengan menyatakan pendirian parti dahulu melalui kenyataan media dalam isu kontroversi semata-mata untuk menjaga hati kelompok rakyat yang mengundi parti mereka. Kemudian, golongan ini akan seolah-olah memaksa Pakatan Rakyat menerima pandangan itu sebagai pandangan rasmi tanpa memikirkan kesannya pada rakan parti yang lain dan kelompok rakyat yang lain.

Tindakan seperti ini harus dijauhi kerana ia bersifat sabotaj yang menimbulkan lebih banyak sengketa yang boleh meretakkan lagi Pakatan Rakyat.

Dalam hal menjaga imej perpaduan Pakatan Rakyat, barangkali para pemimpin barisan pembangkang boleh belajar sesuatu daripada BN.

Lihatlah cara parti-parti komponen BN mengurus perbezaan pendapat, di mana mereka jarang berperang di media sehingga menimbulkan rakyat mendapat persepsi BN tidak stabil dan mungkin berpecah bila-bila masa.

Perhatikanlah bagaimana para pemimpin BN yang tidak bersetuju antara satu sama lain cepat-cepat menutup mulut dan berbicara di belakang takbir untuk mengurangkan tumpuan dan tekanan media.

Renungkanlah bagaimana para pemimpin BN mengambil taktik jarang mengeluarkan kenyataan menghentam parti-parti komponen sendiri meskipun ada yang terlajak.

Belajarlah bagaimana NGO-NGO digunakan sebagai muka depan untuk menyerang parti komponen sendiri dan lawan apabila perlu tanpa menjejaskan imej perpaduan utuh BN.

Akuilah cara BN menguruskan ura-ura pertukaran menteri besar di negeri-negeri tertentu juga lebih baik daripada cara Pakatan Rakyat yang mendapat idea kontroversi seperti Langkah Kajang.

Dalam isu kontroversi, pemimpin BN juga lebih pandai mengelak daripada Pakatan Rakyat yang sering terjerut (walaupun kebetulannya banyak perkara kontroversi berlaku di Selangor, yang di bawah kuasa Pakatan Rakyat.)

Meskipun ada taktik politik BN yang kurang disenangi rakyat, tetapi ia sukar untuk menafikan taktik itu berkesan. Ini kerana sehingga kini tiada seorang rakyat pun yang berasa BN akan berpecah.

Yang rakyat tertanya-tanya ialah bila Pakatan Rakyat akan berpecah? Soalan sedemikian sudah cukup untuk Pakatan Rakyat belajar sedikit sebanyak cara BN dalam mengurus perbezaan pendapat.

Tiada ulasan: