Normala  
Normala


SEPANG - Kegagalan agensi umrah membawa pulang 121 jemaah pada waktu ditetapkan menyebabkan beberapa jemaah terpaksa mengambil cuti tanpa gaji.

Lebih menyedihkan, ada warga emas kehabisan ubat.

Menurut Normala Hamdan, 37, beliau sangat kecewa dengan pihak agensi itu kerana tidak bertanggungjawab di atas perkhidmatan yang sepatutnya diberikan.

“Saya sangat sedih dan geram. Sudahlah tarikh pergi beberapa kali ditunda, apabila hendak pulang tiada tiket disediakan sehingga mereka tangguh tiga kali.

“Pada mulanya dijangka kami pulang pada 2 Jun, kemudian ditunda ke 4 Jun dan kemudian tiada jawapan diberikan. Ini kali pertama saya pergi jauh meninggalkan anak-anak dalam tempoh yang lama,” katanya ketika ditemui di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Normala berkata, beliau terpaksa cuti tanpa gaji lima hari akibat kelewatan itu.

Katanya, tawaran murah RM3,700 membuatkan beliau bersama ibu mertua dan suami sangat teruja untuk menjadi tetamu ALLAH ke Makkah.

Johari Cheek, 69, berkata, beliau sedih kerana sejak tiba di Makkah tidak ada wakil agensi yang membantu mereka.

“Mujur ada anak dan isteri. Jika tidak saya tidak tahu bagaimana nasib saya di sana,” katanya yang berkerusi roda akibat masalah tulang belakang.

Johari berasal dari Nibong Tebal memberitahu bekalan ubatnya habis sehingga anaknya terpaksa cari di farmasi.

“Saya bukan sahaja ada masalah tulang belakang tetapi juga asma. Wakil agensi cuba sembunyi apabila kami nak tanya tentang tiket pulang kami,” katanya yang berterima kasih kerana Umno membantu membawa mereka pulang.

Che Mohd Ilyas Ibrahim pula berkata, beliau dan isteri ambil kesempatan bersolat hajat siang malam agar dipermudahkan segala urusan.

“Setelah diberitahu ada masalah dengan penerbangan pulang, kami tidak henti-henti berdoa. Alhamdulillah kami dapat pulang dengan selamat,” katanya.

Ilyas turut memberitahu ahli keluarganya telah membuat laporan polis terhadap agensi berkenaan kerana cuba menipu para jemaah.