Jumaat, 20 Jun 2014

27 pemilik waran tangkap ditahan

WARTA UTARA


BUTTERWORTH  - Sebanyak 27 pesalah trafik yang memiliki waran tangkap ditahan dalam Op Warta Khas di sekitar Pulau Pinang sejak kelmarin.

Mereka ditahan dalam sekatan jalan raya yang dijalankan Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri hasil pemeriksaan ke atas 647 kenderaan bermula pukul 8 pagi hingga 12 te­ngah malam tadi.

Menurut Ketuanya, Supritendan Ibrahim Abu Bakar, seba­nyak 14,540 pesalah trafik di seluruh negeri ini mempunyai waran tangkap atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

"Kita sedang menggiatkan usaha mengesan pesalah trafik yang gagal melunaskan saman mereka dan daripada jumlah itu, sebanyak 27 orang ditahan dalam sekatan jalan raya yang dibuat.

"Kita yakin lebih ramai yang akan ditahan selepas ini," kata­nya ketika melakukan tinjauan di Plaza Tol Sungai Nyiur di sini hari ini.

Tambah Ibrahim, pihaknya telah menghantar 174 notis ke rumah pemilik waran tangkap, namun tiada sebarang tangkapan dibuat di rumah setakat ini.

Jelasnya, pihak polis masih memberi peluang kepada mereka yang memiliki saman tertunggak atau waran tangkap supaya tampil menjelaskan bayaran di pejabat trafik berdekatan.

"Sepanjang operasi berlangsung, kita membuka kaunter saman trafik hingga pukul 8 malam bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menyemak dan membayar saman," katanya

Tiada ulasan: