Jumaat, 20 Jun 2014

14 filem pendek Unisel didik masyarakat bina jati diri cemerlang

Oleh: Asri Sapfie


SHAH ALAM  – Universiti Selangor (Unisel) menyambut baik saranan Kerajaan Negeri bagi membentuk masyarakat yang mempunyai modal insan cemerlang.

Terbaru, sebanyak 14 karya filem pendek yang dihasilkan oleh pelajar Fakulti Kesenian dan Senibina dipertandingkan di bawah tema ‘Spiritual, Physical, Intellectual, Emotion and Social’ (S.P.I.E.S) sempena Fakulti Art and Design Exhibition (FAD.EX) anjuran universiti itu.

IMG_9182aExco Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali, berkata filem pendek itu dapat memberikan mesej jelas penting program SPIES ini dalam masyarakat.

“Apabila mereka mempunyai 5 elemen penting ini dalam kehidupan seharian, sudah pasti mereka mampu menjadi modal insan yang berjaya dan diibaratkan campak di laut jadi pulau, campak di darat jadi gunung.” kata beliau.

Beliau juga berpendapat setiap pelajar perlu ada lonjakan emosi positif dalam diri masing-masing supaya menjadi lebih bersemangat dalam menghadapi dugaan kehidupan.

“Modal insan dilahirkan dalam diri pelajar ini lebih mahal harganya berbanding sumber, inilah sumber utama di negeri Selangor.” tambah beliau lagi.

Filem ‘IQRAM’ yang berjaya menjadi johan pada pertandingan filem pendek ini mengetengahkan aspek dan nilai spiritual islamik.

IMG_9200a

Pengarah Filem, Faiz Zauki, berkata filem itu memaparkan realiti sebenar kehidupan masyarakat yang kadang kala tersesat daripada jalan benar kerana dihimpit tekanan hidup dan kewangan.

” Filem ini diharap dapat memberi mesej jelas kepada masyarakat supaya menjadikan nilai spiritual sebagai pemangkin kepada kehidupan,” kata beliau.

Beliau yang ditemui melahirkan rasa berterima kasih kepada Unisel kerana memberi peluang kepada mereka dalam menghasilkan filem.

Hadir sama dalam majlis ini adalah Naib Canselor Unisel Professor Dr Anuar Ahmad dan Dekan Fakulti Kesenian and Senibina Unisel, Sayuti Chik Tajuddin.EZY

Tiada ulasan: