Jakim


SHAH ALAM - Kerajaan perlu mewujudkan jawatankuasa khas menyiasat pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang terlibat dengan pensijilan halal supaya insiden DNA babi dalam makanan berlogo halal tidak berulang.

Timbalan Pengerusi Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Rahimuddin Md Harun berkata, ia bagi menyiasat sama ada mungkin wujud unsur rasuah atau sebaliknya.

“Jakim sebenarnya perlu lebih tegas melibatkan soal halal haram makanan yang dijual di pasaran supaya umat Islam tidak tertipu.

“Ini semua tanggungjawab Jakim, perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan makanan yang tidak halal dimakan orang Islam. Kita hairan bagaimana coklat itu dapat sijil halal,” katanya.

 Mengulas lanjut, Rahimuddin berkata, insiden seumpama itu seolah-olah mempersendakan orang Islam.

“Kita rasa orang Islam ditipu bulat-bulat, memandangkan coklat itu ada logo halal daripada Jakim.

“Tapi kita kesal bagaimana perkara ini boleh berlaku. Ini baru sahaja coklat, mungkin banyak lagi produk lain yang ada unsur benda tidak halal tetapi turut juga terlepas,” ujarnya.