Selasa, 6 Mei 2014

Teresa Mengaku Tidak Bersalah, Dibenar Ikat Jamin RM4000

alt
 
Safiq Yaacob 
 
 
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok hari ini mengaku tidak bersalah di bawah Akta Hasutan berhubung penghasilan klip video kontroversi `ONEderful Malaysia CNY 2014' yang disiarkan sempena Tahun Baru Cina lalu.
 
Hakim Norsharidah Awang menetapkan RM4000 sebagai ikat jamin dengan seorang penjamin dan 9 Jun ini sebagai tarikh pengurusan kes, manakala 2 hingga 5 September depan sebagai tempoh perbicaraan.
 
Klip video berdurasi 11 minit 39 saat sempena sambutan Tahun Baharu Cina itu memaparkan Teresa selaku moderator bersama tiga tetamu undangan, mengeluarkan kenyataan menyindir pemimpin negara dalam beberapa perkara termasuk pendidikan dan keganasan di Sabah.
 
Teresa menerima banyak kecaman daripada pelbagai pihak termasuk beberapa golongan profesional Cina yang menyifatkan kandungan klip video itu jelas memaparkan mesej yang mampu mempengaruhi masyarakat.
 
Teresa walaubagaimanapun enggan meminta maaf dan menganggap tindakannya itu hanya sebagai satu lawak jenaka yang menyindir isu semasa di negara ini.
 
Pada 20 Februari lalu, pejabat pusat khidmat Ahli Parlimen Seputeh dekat Kuchai Entreprenuers berhampiran Jalan Kuchai Lama di sini telah disimbah cat merah dipercayai ada kaitan dengan penghasilan video.
 
Selain cat merah, bangkai seekor ayam jantan juga ditemui di pusat khidmat tersebut.
 
Lebih 290 laporan polis berhubung klip video itu telah dibuat oleh pelbagai pihak sehingga 7 Februari lalu.
 
Sementara itu pada 12 Februari lalu, tiga pelakon klip video berkenaan iaitu pelakon wanita, Lim Ching Miau dan dua pelakon lelaki yang hanya dikenali sebagai Ah Kok dan Lim telah dipanggil oleh pihak polis untuk memberi keterangan.

Tiada ulasan: